2014
AFZAN merenung ke luar butik
pakaiannya. Hari minggu seperti ini, pengunjung membanjiri pusat membeli belah
untuk ‘last minute shopping’. Butik pakaian Afzan juga tidak ketinggalan.
Maklumlah, sekarang lelaki lebih gemar mengenakan kurta dan jubah berbanding
dengan baju melayu. Bukan mahu menjatuhkan martabat pakaian tradisional melayu,
tapi mungkin jubah dan kurta lebih selesa dan mudah digayakan.
Sayup-sayup
telinganya menangkap baris-baris lagu raya dendangan Aman Syah - Kepulangan
Yang Dinanti. Lagi seminggu, umat Islam akan menyambut hari lebaran, hari yang
diraikan sebagai tanda kemenangan setelah sebulan melawan hawa nafsu. Hari yang
kebiasaannya anak-anak perantau pulang ke desa bertemu keluarga. Berkumpul,
bergelak ketawa dan bermaafan sesama ahli keluarga. Nafas dihela berat.
Bila
kali terakhir Afzan menjejakkan kaki ke kampong halaman? Bila kali terakhir dia
mengucup tangan dan memohon maaf dari babah dan uminya? Bila kali terakhir dia
beraya bersama abang dan adiknya? Entah, Afzan sendiri sudah lupa. Entahkan
enam atau tujuh tahun yang lalu, dia sendiri tidak ingat. Air matanya bergenang
tiba-tiba. Teringat dia dengan kegembiraan yang dipamerkan para pekerjanya bila
dia memberitahu yang tahun ini dia akan memberikan bonus dan butik akan ditutup
lebih lama berbanding tahun-tahun lalu. Afzan tahu, bukan bonus yang dikejar
pekerjanya tapi peluang bercuti lebih lama dan dapat menghabiskan masa bersama
keluarga mereka itu lebih bermakna.
Bunyi
ketukan di meja menyedarkan Afzan dari lamunan. Dia memandang Iqbal, share-partner
butiknya itu. Kening diangkat bertanyakan kenapa.
“Kau
ni, jauh benar termenungnya? Ada masalah ke?” tanya Iqbal bersama senyuman
nipis. Afzan sungging senyum. Tiada siapa mengetahui masalahnya. Di bandar raya
ini, Afzan lelaki baru, bukan Afzan yang lahir dari kampong. Tiada siapa tahu
masalahnya dan tiada siapa tahu hakikat sebenar yang dia tidak pernah pulang ke
desa halaman sejak tujuh tahun yang lalu.
“Tak
ada apalah, Bal. Kau ni, risau sangat,” selindung Afzan.
“Kalau
tak ada apa-apa, takkanlah kau boleh termenung sampaikan customer panggil pun
kau tak dengar,” bidas Iqbal. Afzan tersentak. Biar benar? Ada pelanggan yang
panggil diakah?
“Kalau
kau tak nak cerita, tak apa aku faham. Tapi jangan biasakan sangat simpan
masalah sendirian, nanti lama-lama boleh admit di Tanjung Rambutan,” nasihat
Iqbal bersama sedikit sindiran. Afzan tersenyum cuma. Iqbal berlalu ke belakang
bila namanya dipanggil oleh salah seorang pekerja mereka. Afzan hanya
memerhatikan sahabat karibnya yang menghilang disebalik rak-rak pakaian.
Tak
sempat Afzan termenung, Syakir pekerjanya meletakkan beberapa helai pakaian
yang sudah dilipat kemas di atas kaunter pembayaran. Afzan pantas berdiri.
“Ini
sahaja, encik?” tanya Afzan berbahasa-basi.
“Iya,
ini sahaja… Zan?” lelaki itu sedikit tersentak. Afzan yang leka membelek tag
harga yang tergantung di leher jubah itu mengangkat kepala. Riak wajahnya
berubah mendadak.
“Kau
dah tak kenal aku ke, Zan. Akulah, Amir,” lelaki bernama Amir itu
memperkenalkan dirinya. Afzan tersenyum nipis.
“Aku
ingatlah, Mir. Cuma terkejut nampak kau kat sini. Kau apa khabar? Lama tak
dengar cerita,” Afzan bernada gembira walaupun dia seakan tidak percaya. Tak
sangka pula terjumpa teman lamanya di sini.
“Aku
sihat. Macam mana nak dengar cerita, kau lari ke KL ni entah berapa lama,
langsung tak pernah sekali pun balik lepas kes tu kan? Aku kerja dekat Serdang
sekarang ni. Ini saja je ‘last minute shopping’ sebelum balik kampong. Esok dah
sampai kampong, malas lagi nak keluar dah,” Amir ceria bercerita. Afzan sekadar
menganggukkan kepalanya. Tangannya pula lincah mengimbas barkod yang bergantung
di leher jubah yang dipilih Amir. Niatnya, biar cepat dia buat kerja, cepatlah
Amir akan keluar dari butiknya ini. Bukan menghalau pelanggan cuma dia
sebenarnya masih belum bersedia berjumpa dengan orang yang mengetahui kisah
silammya.
“Bila
kau nak balik kampong, Zan? Maaflah aku masuk campur hal kau, tapi aku tak
sampai hati tengok Pak Mail dengan Cik Mah tu termenung ingatkan kau. Seingat
aku, dah bertahun-tahun diorang tak ceria nak sambut raya,” ucapan yang keluar
dari mulut Amir menyentakkan Afzan. Dia menyambut huluran beberapa keping not
100 dengan tangan yang sedikit menggigil.
“Sedih
aku tengok Pak Mail dengan Cik Mah tu. Raya tahun lepas, langsung tak ada
persiapan raya. Abang dengan adik kau pun macam tak gembira je,” Amir
memberitahu lagi. Afzan terdiam. Inilah sebabnya dia tak mahu berjumpa dengan
kenalan dari kampungnya. Dia tak mahu kisah-kisah begini timbul.
“Along
tukan kaya, takkanlah tak mampu nak beli persiapan untuk umi dengan babah aku?”
sinis suara Afzan. Amir menggeleng perlahan.
“Bukannya
soal Fawzan tak beli, tapi Pak Mail dengan Cik Mah yang tak nak beraya. Aku
tahu, apa yang jadi memang susah nak dilupakan. Tapi ingat Zan, mak dengan ayah
tu tak ada ganti. Berapa lama kau nak bawa diri, baru nak balik tengok mereka?
Takkan tunggu tubuh dah kaku, mata dah tertutup, baru masa tu kau nak jejakkan
kaki? Aku sayang kau Zan, kau kawan aku. Baliklah, Zan. Tinggal seminggu nak
raya, baliklah Zan,” kata-kata Amir dibiarkan tak bersambut. Walaupun cuba
untuk tak mendengar tapi hakikatnya tetap menusuk ke sanubari. Baki wang Amir
dipulangkan bersama senyuman sayu.
“Terima
kasih, Zan. Ingat apa yang aku cakap tadi. Aku balik dulu,” ujar Amir
berpamitan. Beg kertas berlogo emas itu diambil sebelum berlalu keluar dari
butik AfBal Art.
Elok
sahaja Amir berlalu keluar, Afzan memandang ke dalam butiknya. Terkedu dia bila
melihat Iqbal yang berdiri tak berapa jauh darinya. Berapa lama Iqbal ada di
situ? Dengar ke dia dengan semua yang Amir katakan?
“Aku
ada kat sini dari tadi dah. Tapi tak adalah aku dengar sangat apa yang kau
cerita dengan lelaki tadi tu,” senada suara Iqbal seakan memahami apa yang
bermain di minda Afzan. Afzan mula jadi serba salah. Iqbal menepuk bahu
temannya lembut.
“Dahlah,
Zan. Kalau kau rasa kau nak bercerita, aku ada dekat sini. Tapi kalau kau rasa
aku akan salah judge kau dengan cerita kau, tak perlulah kau buka mulut cerita
pada aku apa yang jadi. Benda pun dah lepas, kan? Cumanya aku nak ingatkan kau,
sesakit mana pun hati kita dengan mak ayah kita, syurga kita tetap pada dia,”
Iqbal menasihati sebelum berlalu ke stor yang terletak berhampiran dengan
kaunter.
“Allah…”
keluh Afzan seakan tersedar dari silapnya.
*#*#*
Aidil Fitri, 2007
AFZAN mencabut langsir yang
bergantungan di tingkap. Tahun ini, raya lebih meriah. Maklum sajalah Fawzan
sudah bekerja tetap sebagai seorang guru di sekolah berhampiran rumah mereka.
Dia pula sedang berjinak-jinak dengan perniagaan kecil-kecilan di pasar malam dan
disebabkan bulan puasa dia berniaga di bazaar Ramadhan pula. Adiknya, Faizah
pula sudah memasuki alam universiti dan mendapat biasiswa tanggungan MARA. Jadi
adalah sedikit wang yang dapat mereka hulurkan untuk membantu ibu dan ayahnya
dan yang penting untuk menyambut hari raya ini.
“Afzan,
berapa lama kau cabut langsir tu? Cepat turun sini, ngah. Banyak kerja ni,”
jerit Fawzan dari halaman rumah. Afzan terkejut mendengar jeritan abang
kembarnya itu. Mujur saja tak jatuh dari tangga yang dipanjatnya itu. Kepala
dijengukkan halaman rumah.
“Sabarlah,
long. Tak siap lagi ni,” balas Afzan. Dia dapat menangkap kelibat Puan Aisyah,
jiran mereka yang turut sama bergotong-royong menyediakan juadah untuk hari
raya yang bakal menjelang esok.
“Lambatlah
kau ni, ngah. Cepatlah sikit. Tulah, tadi along suruh adik yang cabut, kau nak
buat sangat. Kan dah lambat,” rungut Fawzan dengan nada bergurau. Afzan buat
muka. Lidah dijelirkan sedikit kepada abangnya yang sedang ligat mengipas bara
lemang.
“Jelirlah
lidah tu, umi kerat nanti baru tau,” marah Puan Asmah pada anak lelakinya yang
berdiri di tingkap. Afzan tergelak kecil. Dia menyambung memasang langsir bila
susuk tubuh Dina, anak gadis Puan Aisyah menghampiri halaman rumah mereka.
“Terus
laju pasang langsir, nampak Kak Dina datang,” usik Faizah pada abangnya itu.
Afzan menunjukkan penumbuk ke arah adik perempuannya itu. Makin geram jadinya
bila dia kemudian menangkap bunyi gelak Fawzan.
Selesai
memasang langsir, Afzan turun ke halaman rumah. Malas mahu membantu, dia
sekadar mahu menunjukkan mukanya sebelum dia dibebel Fawzan.
“Ha,
baru turun anak dara?” usik Fawzan. Afzan yang baru selesai menyarung selipar
menghampiri abang kembarnya sebelum sebuah penumbuk dihadiahkan kepada lelaki
itu. Sengaja Fawzan mengaduh walaupun hakikatnya bukan sakit mana pun tumbukan
adik kembarnya itu.
“Angah,
tolong umi ambil air untuk rebus ketupat ni,” pinta Puan Asmah. Afzan yang
sedang berbual dengan Faizah terus bangun dari duduknya dan menghampiri Puan
Asmah. Baldi air yang dihulurkan diambil.
“Abang
sado angkat air,” usik Faizah kuat. Fawzan yang leka membakar lemang turut sama
melemparkan pandangan ke arah Afzan yang mengangkat baldi penuh berisi air.
“Ngah
baik-baik sikit, ngah. Tumpah air tu kat Mak Cik Aisyah, cancel kau jadi
menantu,” usik Fawzan selamba. Puan Aisyah tergelak kecil. Dina pula dah merah
muka menahan malu dengan usikan Fawzan.
“Kalau
tumpah biar tumpah atas orang mengipas lemang tu, ngah. Rajin sangat mengenakan
orang,” marah Encik Ismail. Kali ini giliran Afzan pula tergelak. Hendak
dilayangkan ‘thumbs-up’ pada abangnya, dia sedang mengangkat air. Sudahnya dia
hanya mampu gelak sahajalah.
“Dah
siap ni, tolong umi masak rendang,” arahan seterusnya keluar dari mulut Puan
Asmah untuk Afzan. Afzan leret pandangan ke bahagian masak rendang. Ada adiknya
dan juga Dina di situ. Umi ni nak suruh tolong apa, kan dah ada adik dengan
Dina dekat situ.
“Adik
kamu nak masukkan kuih dalam balang, umi kamu suruh tadi. Kamu pergilah tolong
Dina tu,” arah Puan Aisyah pada Afzan yang masih lagi berdiri tegak bagai tugu
negara. Afzan kerut kening. Amboi Mak Cik Aisyah, bagi green light nampaknya.
Lambat-lambat Afzan menghampiri adiknya yang sudah tersenyum lebar.
“Yay!!
Angah masak rendang, adik boleh la berehat,” sengaja Faizah menceriakan
suaranya untuk menyakitkan hati Fawzan dan Afzan. Fawzan laju memiat telinga
adik perempuannya dan Afzan pula menggetap gigi geram.
“Banyak
la adik punya berehat, kemas rumah tu. Esok dah raya,” arah Fawzan.
“Umi
suruh masukkan kuih dalam balang, kan? Adik jangan nak mengelat ya. Sampai
kitorang berdua kena buat kerja tu kejap lagi, esok adik tak jumpa baju raya
adik kat mana,” ugut Afzan pula. Fawzan menghulurkan tangan untuk ditepuk
Afzan. Faizah tunjuk muncung itiknya.
“Angah,
cari tali ngah,” arah Fawzan tiba-tiba
“Tali?
Nak buat apa?” Afzan terpinga-pinga dengan arahan Fawzan. Sejak bila masak
lemang nak bertali bagai ni?
“Nak
tangkap itik. Boleh masak rendang itik malam ni,” Afzan menoleh memandang ke arah
Faizah yang baru sedar dirinya dikenakan si along. Makin berkerut mukanya
menahan marah sebelum dia berlalu laju masuk ke dalam rumah.
“Ya
ALLAH budak bertiga ni, masing-masing dah besar tapi tak habis-habis nak
mengusik dan bergaduh,” rungut Puan Asmah dengan gelagat anak-anaknya. Fawzan
dan Afzan hanya menunjukkan barisan giginya.
“Eloklah
tu, kak. Biarlah macam tu, mesra antara adik beradik. Susah senang sama-sama,”
balas Puan Aisyah pula.
Afzan
menghampiri Dina yang sedang mengacau campuran masakan di dalam kuali. Dina sekadar
pandang sekilas sebelum kembali meneruskan kerjanya. Afzan membantu memasukkan
bahan-bahan yang diperlukan tapi antara mereka berdua langsung tiada siapa yang
mula bercakap. Afzan tak tahu apa yang nak dibualkan. Dina pula lebih senang
mendiamkan diri, tak terasa langsung hendak berbual dengan lelaki itu. Dina
tahu emak dan Puan Asmah mahu menjodohkan dia dengan Afzan tapi bagi dirinya
dia tak mahu. Afzan bukan calon idamannya.
Bukan
dia memilih tapi dia memang tak boleh nak rasi dengan Afzan. Ada saja yang tak
kena di matanya dengan Afzan tapi lain pula kalau Fawzan. Bukannya Dina suka
pada Fawzan, tidak! Padanya Fawzan hanya kawan tapi keperibadian Fawzan buat
Dina lebi selesa dengan lelaki itu berbanding si kembarnya dan Dina juga tahu perasaan
itu hanya rahsia hatinya sahaja.
“Umi,
dah siap dah masak rendang,” suara Afzan mematikan lamunan Dina. Dia memandang
lelaki yang sudah berdiri di tepinya itu.
“Kalau
dah siap, tutuplah. Jangan lupa minta bekas dari adik. Masukkan sikit untuk Mak
Cik Aisyah bawa balik,” pesan Puan Asmah. Afzan hanya menganggukkan kepalanya
sebelum beredar masuk ke dalam rumah. Malas mahu berlama-lamaan dengan Dina di
situ. Dia tahu, Dina bukannya ada perasaan padanya. Dia mana pernah nak berbual
atau menegur dirinya. Dan balik-balik hanya pandangan sinis yang dilemparkan
kepadanya.
Afzan
mengeluh. Entahlah…
Disember 2007
AFZAN duduk bersendirian di
sungai. Tempat dia selalu menghabiskan masa dan menenangkan fikiran kalau dia
ingin bersendiri. Ya ALLAH, ujian apakah ini? Soal hatinya merintih sayu.
Semalam
sewaktu Amir menggunakan motosikal miliknya, temannya itu kemalangan. Mujur Amir
sempat melompat menjauhi motosikal itu. Kalau tidak, pasti saja temannya itu
digilis lori sama seperti motosikalnya. Sudahlah begitu, gerai burger milik
mereka yang terletak tidak jauh dari jalan utama kampong dibakar orang. Tak
cukup dengan itu, duit modal perniagaannya pula hilang dicuri. Afzan merenung
langit biru dengan keluhan yang berat.
Dalam
khayal dia merenung air sungai jernih yang mengalir perlahan, Afzan dikejutkan
dengan suara wanita menjerit meminta tolong. Laju dia bangun dan menuju ke arah
suara itu kedengaran. Dari celahan pokok, terbeliak Afzan bila dia melihat
seorang lelaki menjatuhkan wanita itu ke tanah. Dari apa yang dia lihat, wanita
itu meronta-ronta hendak melepaskan diri sebelum pipi wanita itu dilempang
kuat. Kemudian, wanita itu kaku. Afzan segera menghampiri bila perasan lelaki
itu sudah mule hendak membuka kancing seluar wanita yang sudah terkaku itu.
“WOI!”
jeritan Afzan membuatkan lelaki yang memakai helmet merah itu terkejut. Laju
dia berlari menghampiri motosikalnya sebelum berlalu meninggalkan tempat
kejadian. Meninggalkan Afzan dengan wanita yang sudah terbaring lemah. Afzan
menghampiri wanita itu. Tudungnya masih elok dikepala walaupun baju t-shirt
labuh yang dipakainya sudah terkoyak di bahagian lengan tanda pergelutan.
“Dina?”
terkejut Afzan melihat wanita yang terbaring tak sedarkan diri itu. Laju dia
menghampiri. Perlahan-lahan pipi wanita itu ditepuk untuk menyedarkannya. Dina
mulai sedar dan ingin menjerit. Laju Afzan menutup mulut Dina tidak mahu
kejadian yang tidak terduga terjadi.
Afzan rasa
bahunya ditumbuk kuat. Elok dia berpusing, dia merasa tubuhnya melayang dan
terhumban tidak jauh dari tempat Dina terbaring. Matanya menangkap wajah
menyinga Encik Sulaiman, ayah Dina.
“Kurang ajar
punya budak. Aku tak sangka kau macam ni,” tak sempat mebela diri, Afzan rasa
batang tubuhnya dipukul kuat oleh Encik Sulaiman. Tidakan refleks, Afzan melindungi
mukanya dari dipukul.
“Saya
tak buat apa-apa pak cik. Sumpah!” laung Afzan kuat. Dina pula hanya
menundukkan diri dan menangis. Dia tidak tahu apa yang terjadi. Dia tak kenal
siapa yang menariknya masuk ke dalam belukar. Yang dia tahu, bila dia sedar
wajah Afzan di hadapan matanya. Dan yang membuatkan dia curiga bila Afzan
menutup mulutnya mengelakkan dia daripada menjerit. Sebab itulah, dia tidak
mampu menghalang ayahnya dari memukul Afzan.
“Sudah,
Man sudah. Ingat ALLAH Man. Mati Afzan ni nanti,” beberapa orang kampong mula
menenteramkan Encik Sulaiman.
“Biar,
biar dia mati. Hidup pun memalukan mak bapak. Aku tak sangka kau macam ni,
Afzan! Tergamak kau buat Dina macam ni,” herdik Encik Sulaiman. Afzan terkedu.
Sumpah, dia tidak berniat begitu. Dia hanya mahu membantu Dina tapi niatnya
sudah disalahertikan.
“Bawa
dia balik. Bawa dia jumpa mak ayahnya,” arah ketua kampong.
PUAN ASMAH menangis tersedu
sedan. Ya ALLAH, berat ujian buat keluargaku ini. Encik Ismail sudah memandang
dengan pandangan penuh kemarah. Fawzan? Entah, wajahnya tak beriak.
“Apa
yang kau dah buat ni, Afzan? Kau dah memalukan kami, tahu tak?” lantang suara
Encik Ismail memecahkan kesunyian. Afzan hanya menunduk memandang lantai.
Wajahnya yang lebam dan badan yang berbirat terasa sakit tapi lebih sakit
hatinya bila keluarganya sendiri bertindak untuk tidak percayakannya.
“Babah,
Angah tak buat semua ni bah. Ini semua fitnah, bah,” rayu Afzan meminta
simpati.
“Fitnah
apanya, ngah kalau orang dah tangkap kamu tengah tekup mulut Dina dalam semak
sana tu? Fitnah apa, ngah?” marah Encik Ismail kuat. Dia merenung anak
lelakinya itu dengan pandangan tajam.
“Kau
patut bersyukur, ngah. Pak Cik Man tak nak ambil tindakan pada kau sebab dia
tak nak babah malu. Tapi tak payah tindakan undang-undang pun babah dah memang
malu dengan perbuatan kamu. Kamu jatuhkan maruah keluarga, Zan!” jerit Encik
Ismail. Afzan menunduk.
“Babah,
sumpah bah. Angah cuma nak tolong Dina je. Angah tak ambil kesempatan pada Dina
pun, bah,” sedih suara Afzan kedengaran. Encik Ismail menggelengkan kepalanya.
“Sudah
Afzan! Aku tak percaya dengan apa yang kau cakap. Kalau seorang yang tangkap
kamu tengah pekup mulut Dina, aku boleh kata orang tu menipu. Tapi sekarang ni,
lebih 5 orang yang nampak, Afzan! Kalau kamu nak tolong Dina, kenapa kamu pekup
mulut dia?”
“Kalau
ikutkan hati aku, sekarang juga aku campak kamu ke balai polis tu. Entah-entah
gerai kamu tu, kamu sendiri yang bakar agaknya,” terkedu Afzan mendengar
kata-kata ayahnya. Ya ALLAH, sampai macam tu sekali babah tak percaya pada aku.
Air matanya mengalir perlahan.
“Kau
keluar dari rumah ni, Afzan. Aku tak nak tengok muka kau. Kau keluar, Zan!”
halau Encik Sulaiman. Afzan tersentak. Wajahnya diangkat memandang kea rah
ayahnya.
“Babah!”
“Abang!”
Serentak
Faizah dan Puan Asmah menjerit. Tak percaya dengan apa yang ditangkap ditelinga
mereke. Sampainya hati babah membuang Afzan. Lebih memilukan bila Afzan melulu
menghampiri babahnya yang sedang berdiri membuang pandangan ke arah jendela
rumah.
“Bah
ampunkan angah bah. Jangan buang angah, bah. Angah tak buat semua benda tu.
Percayalah bah. Umi, tolong angah umi. Angah tak pernah terniat nak jatuhkan
maruah keluarga ni. Babah, umi tolong jangan buat angah macam ni,” rayu Afzan
menyebabkan air mata Puan Asmah semakin lebat mengalir. Encik Ismail masih kaku
di jendela langsung tak terkesan dengan rayuan anaknya itu.
“Pak
Cik Man nak nikahkan Dina dengan Fawzan. Aku tak nak kau ada dekat rumah ni
Afzan,” arah Encik Ismail sebelum berlalu keluar dari rumah meninggalkan keluarganya
yang sedang mencerna apa yang diperkatakannya sebentar tadi.
“Kau
keluar dulu, ngah. Babah tengah marah tu, nanti esok lusa kau baliklah. Kau
tahukan babah marah bukannya lama,” pujuk Fawzan. Sayu hatinya melihat adiknya
dihalau keluar dari rumah tempat mereka dilahirkan dan membesar. Puan Asmah dan
Faizah tak mampu berbuat apa-apa. Mereka melangkah ke bilik tidur masing-masing
meninggalkan Afzan bersendirian di ruang tamu rumah.
Afzan
terkaku. Wajahnya disembamkan ke tapak tangan. Ya ALLAH, kalau ini ujian hidup
aku, kalau ini yang terbaik yang KAU aturkan untuk aku, aku redha ya ALLAH. KAU
tunjukkanlah kebenaran, Ya ALLAH. KAU bantulah aku, ya ALLAH.
Dengan
kekuatan diri yang masih tersisa, Afzan melangkah masuk ke dalam biliknya. Dua
tiga helai baju di masukkan ke dalam beg sandang. Sewaktu ingin keluar dari
bilik, matanya menangkap bingkai gambar mereka sekeluarga ketika aidil fitri
tak lama lalu. Afzan masukkan ke dalam beg sandangnya. Sebelum keluar dari
rumah, dia masuk ke dalam bilik uminya.
“Umi,
Afzan pergi dulu. Andai ditakdirkan Afzan tak kembali lagi, Afzan minta umi
halalkan semua yang umi berikan pada Afzan. Afzan harap umi maafkan segala
kesalahan Afzan. Umi, tak pernah walau sesaat pun Afzan terlintas nak memalukan
keluarga ni, umi. Afzan sayang umi, babah, along dan adik. Maafkan Afzan umi,
Afzan pergi dulu,” walaupun uminya berbaring membelakangkannya, Afzan tahu Puan
Asmah tidak tidur dan Afzan tahu Puan Asmah mendengar setiap butiran yang
dikatakannya.
Berat
kaki hendak melangkah pergi, tapi apakan daya dia terpaksa. Perlahan-lahan
Afzan turun dan berlalu pergi meninggalkan rumah kayu-batu yang didiami
keluarganya itu. Belum jauh Afzan melangkah, dia terasa badannya dipeluk
seseorang.
“Angah,
adik sentiasa percaya pada angah. Adik tahu angah tak buat semua tu. Angah
jangan pergi, angah,” Afzan rasa belakang bajunya basah. Afzan renggangkan
pelukan dan berpaling menghadap Faizah yang sudah sembap matanya akibat
menangis.
“Adik,
angah kena pergi. Angah tak nak umi dan babah malu. Angah sentiasa jadi abang
adik. Angah sayang adik. Adik jaga diri, jaga iman. Kalau ditakdirkan angah tak
balik lagi atau hanya jenazah angah je yang adik terima, pesan pada umi, babah
dan along, angah minta maaf sangat-sangat sebab jatuhkan maruah keluarga.
Terima kasih, dik sebab percaya pada angah,” tautan tangan adiknya dilepaskan
dengan berat hati. Air mata menjadi saksi pedihnya perpisahan itu.
Perlahan-lahan, Afzan berpusing dan meninggalkan Faizah seorang diri di halam
rumah.
*#*#*
2014
IQBAL memandang temannya yang
sudah tenggelam bersama air mata. Mujur saja sudah berbuka, kalau tidak ada
pula yang terbatal puasanya. Iqbal terdiam, tak tahu begitu berat dugaan
temannya itu. Selama dia mengenali Afzan, dia hanya nampak sisi Afzan yang
sentiasa riang dan gembira.
“Lepas
kejadian tu, kau langsung tak balik kampong ke?” tanya Iqbal merenung temannya
itu. Afzan geleng kepala.
“Bukan
aku tak nak balik, Bal. tapi apalah namanya aku balik kalau sekadar nak dihina?
Kalau aku yang dihina aku tak kisah, Bal tapi aku tak sanggup kalau umi dengan
babah aku yang di hina,” ucap Afzan teresak-esak.
“Itulah
tahun terakhir aku celebrate raya. Lepas tu, raya atau pun tidak langsung tak ada
makna buat aku,” jujur pengakuan Afzan. Iqbal tarik nafas dalam-dalam. Terdiam
dia mendengar cerita temannya itu.
“Habis
tu setiap tahun, bila aku balik beraya kau ke mana?” tanya Iqbal aneh. Yalah,
mana tidaknya. Selalu kalau Iqbal ingin pulang ke kampong untuk menyambut hari
raya, Afzan mesti sudah keluar terlebih dahulu. Gayanya macam turut sama pulang
ke kampong halaman tapi selepas Iqbal tahu hal ini, dia juga tahu yang Afzan
sudah pasti tak pulang beraya.
“Aku
bercuti. Tenangkan minda,” balas Afzan bersama senyuman kecil.
“Aku
cadangkan raya tahun ni kau baliklah, Zan. Benda tu pun dah tujuh tahun
berlalu. Along kau dengan Dina tu pun aku rasa dah beranak-pinak dah. Baliklah,
Zan,” Afzan raup muka dengan kedua tapak tangannya.
“Aku
tak mampu, Bal. Aku takut. Aku tak bersedia nak terima tomahan yang
macam-macam,” akui Afzan. Iqbal pandang temannya dengan pandangan penuh harap.
“Zan,
kita memang takkan pernah bersedia kalau kita sentiasa statik di satu tempat.
Untuk bersedia, kita kena maju ke depan. Jangan sesekali patah balik ke belakang.
Berpusing dan tengok belakang itu hanya sekadar untuk jadikan panduan bukan
untuk kau lalui jalan yang sama,”
“Balik
Zan. Sebelum kau terlewat. Kalau bukan masa mak ayah kau yang habis, mungkin
kau yang bakal tutup mata dulu. Sanggup ke kau tutup mata sebelum kau sempat
jumpa mak dan ayah kau? Zan, tinggal seminggu nak raya. Kau tak terasa ke nak
beraya macam dulu-dulu? Kau tak terasa ke rindu dengan suasana kampong? Kau tak
rasa sayu ke dengar takbir raya tapi kau jauh entah kat mana?”
“Jadikan
raya tahun ni satu perubahan untuk kau, Zan. Baliklah. Ada orang yang rindukan
kau kat kampong tu,” pujuk Iqbal. Melihat Afzan yang menarik nafas panjang,
Iqbal berlalu masuk ke bilik tidurnya meninggalkan Afzan mencerna setiap butir
perkataan yang didengarinya.
Sayu… hati ini makin sayu…
Rindu… terkenangkan desa permai…
Wajah ayah bonda… bermain di mata…
Mengajak ku pulang ke desa, di pagi mulia…
Hari Raya…
Lama… ku tunggu…
Bertemu di hari mulia…
Namun tidak kesampaian…
Air mata, jatuh berlinangan
-Siti Nurhaliza (Air Mata
Syawal)-
___BERSAMBUNG___
Feel free to comment ya! Setiap komen amatlah dihargai dan diucapkan terima kasih.. :) *KUDOS*
Tak sabar nk tggu sambungan cerita ni
ReplyDeleteTerima kasih.. :)
Deletecerita biasa2 je ni.. Hehehe.. ;)