LOVE

L : Love everything about your love one
O : Often show your love
V : Value the time you have together
E : Embrace the memories together

Thursday, 4 June 2015

LOVE is 143


LAPANGAN terbang KLIA sesak. Penerbangan dari United Kingdom baru sahaja tiba beberapa minit lalu. Rizal tertinjau-tinjau mencari kelibat adik kembarnya, Rafiq. Isterinya, Aleeya sudah mula keletihan. Dia duduk di kerusi menunggu sambil mengusap perutnya yang makin membulat.
            “Assalamualaikum,” sapa satu suara yang cukup dikenali Rizal. Rizal mengalihkan pandang ke arah suara itu sambil tersenyum lebar. Dia memeluk bahu lelaki yang berdiri di hadapannya itu dengan erat dan mesra.
            “Waalaikumussalam,” balas Rizal kemudiannya. Rafiq masih lagi berbalas pelukan dengan abangnya. Senyuman di bibir mereka berdua masih lagi belum mati. Lega benar dapat melepaskan rindu dengan kembarnya sejak 5 tahun terpisah gara-gara si adik melanjutkan pelajaran ke luar negara.
            Rizal menarik tangan Aleeya untuk menghampirinya. “Ni kakak ipar kau, Aleeya,” Rizal memperkenalkan Aleeya kepada Rafiq. Rafiq terkejut. Dia tersentak dan terpempan melihat wajah wanita di hadapannya saat ini. Aleeya cuba mengawal perasaannya yang mula berkocak. Kenapa dia mesti wujud semula dalam hidup aku?
            “Woii!!” sergahan Rizal mematikan lamunan mereka berdua. Rafiq tersengih menutupi perasaannya.
            “Sorrylah bro. terkejut tengok kakak ipar sendiri,” Rafiq buat-buat ketawa. Rizal sengih tayang gigi. Dia memeluk bahu adiknya.
            “Amacam? Comel tak?” ujar Rizal bergurau. Rafiq tergelak.
            “Bahaya soalan tu, bang. Tak perlulah dijawab kot,” Rafiq paksa senyum. Rizal tergelak kecil dengan jawapan adiknya itu. Aleeya lebih kepada mendiamkan dirinya. Dia mula tak senang duduk. Tingkahnya terasa bagai salah sahaja. Dia ingin cepat-cepat balik ke rumah. Tapi, kalau balik pun, dia masih terpaksa menghadap wajah lelaki yang dibencinya itu. Maklumlah, diakan tinggal di rumah mertuanya.
            “Abang, bila kita nak balik ni? Leeya penatlah. Tak selesa,” Aleeya mula bersuara. Benci sungguh dia melihat wajah adik iparnya itu. Wajah yang pernah menghancurkan hati perempuannya. Rizal tersenyum manis. Pelukan di bahu adiknya dilepaskan dan dia memeluk lembut bahu isterinya.
            “Kesian wife abang. Tulah, suruh tinggal rumah tadi, tak mahu,” usik Rizal. Aleeya ukir senyum nipis. Mulanya memang teruja nak kenal dengan adik ipar sendiri, tapi bila dah kenal rasa macam nak sembunyikan diri. Lari dari pandangan lelaki itu. Lari dari mengenali lelaki yang membawa gelaran adik ipar itu. Benci dia melihat senyuman yang terukir di wajah lelaki itu. Kalau boleh, rasa ingin saja dia menoreh tepi bibir lelaki itu. Biar jadi macam Joker.
            “Jomlah, bang. Balik rumah boleh sembang panjang lagi. Mama pun ada sekali,” ajak Rafiq. Rizal menganggukkan kepalanya. Bahu isterinya dipeluk erat sambil memerhatikan adiknya yang menolak troli berisi luggage dan beg barangannya.
            “Sayang nak duduk depan ke belakang?” soal Rizal prihatin tentang keadaan isterinya. Rafiq yang sedang memasukkan barangan ke dalam bonet jelas mendengar soalan abangnya itu. terasa terbakar pula hatinya dengan panggilan sayang yang digunakan. Sabar Fiq, kau bukan siapa-siapa dalam hidup Aleeya. Dia milik abang kau. Hati Rafiq memberi rasional kepada dirinya saat ini.
            “Tak kisah sayang,” balas Aleeya lembut menghancurkan lagi hati Rafiq yang sudah sedia hancur. Rafiq yang selesai memasukkan barang ke dalam bonet pantas berlalu menuju ke pintu belakang sebelum memboloskan dirinya. dia perasaan Aleeya teragak-agak untuk membuka pintu hadapan jadi baik dia sahaja yang memberi laluan kepada Aleeya untuk duduk di sebelah abangnya, kan?
            “Oi, siapa suruh kau duduk belakang?” sergah Rizal yang baru membuka pintu tempat pemandu. Rafiq yang baru merehatkan kepalanya memandang abangnya aneh.
            “Habis tu, abang nak suruh Fiq duduk mana? Dalam bonet ke?” soal Rafiq blur. Aleeya turut sama memandang suaminya pelik. Betul juga soalan Rafiq tu, Rizal nak suruh Rafiq duduk mana?
            “Sini tempat kau. Jadi driver, biar abang jadi big boss pulak,” balas Rizal sebelum menghidupkan enjin keretanya. Rafiq senyum nipis. Matanya dipejamkan.
            “Banyaklah kau, bang. Cuba kesian sikit dengan adik kau ni. Penat tau duduk dalam flight tu lama-lama. Jet leg ni,” balas Rafiq meminta simpati. Rizal tergelak kecil. kereta Mazda 6 itu dipandu keluar dari kawasan parkir.
            “Eleh, jet leg konon. Padahal mata kau tu tak tahu penat sebab dok sekodeng pramugari dalam flight tadi kan? Bukannya abang tak tahu,” serentak dengan itu, Rafiq menghamburkan gelaknya. Dia menumbuk bahu abangnya perlahan.
            “Merepek!” bidas Rafiq bersama sisa tawanya. Rizal turut sama tergelak. Sesekali matanya memerhati ke arah isterinya yang duduk di sebelah. Isterinya memejamkan mata. Tidur barang kali. Sebenarnya Aleeya hanya berpura-pura tidur. Malas dia mahu menyampuk perbualan dua beradik itu. bukannya dia tahu apa yang mahu dibualkan. Lebih-lebih lagi dengan Rafiq.
            “Bang, sorrylah masa weeding kau hari tu Fiq tak balik,” Rafiq bersuara tiba-tiba bila suasana mula sepi. Aleeya tersentak. Patutlah dia tak perasaankan Rafiq masa hari persandingannya dengan Rizal tempoh hari, rupanya lelaki itu tiada. Sibuk sungguh nampaknya lelaki itu, sampaikan perkahwinan kembarnya sendiri dia tidak menunjukkan muka. Sibuk dengan girlfriends yang bersusunkah?
            “Tak de hallah, dik. Lagi pun kau tengah sibuk praktikal kan. Tapikan, abang bersyukur gak kau tak balik,” usik Rizal bersama suara nakal. Rafiq kerut kening. Dah kenapa abang aku ni, dia tahu ke aku ada dark history dengan wife dia?
            “Hah? Kenapa pulak?” soal Rafiq cemas.
            “Kalau kau balik, abang risau tetamu salah pengantin,” Rizal tergelak-gelak tanpa dapat ditahan. Rafiq melepaskan keluhan geram dan menggelengkan kepalanya beberapa kali.
            “Kau ni macam-macamlah, bang. Kita bukannya kembar seiras pun sampai orang nak tertukar,” akhirnya Rafiq turut tergelak kecil dengan lawak kurang cerdik abangnya itu.
            “Manalah tahukan? Kau kan selalu lagi macho dari abang,” mendengar kata-kata suaminya itu, Aleeya mencebikkan bibir dengan matanya yang masih terkatup. Macho konon! Hubby aku 1000 kali macho and handsome compare to you, Mr. Playboy.
            “Sudahlah kau, bang. Erm, ni bila Fiq nak jadi uncle ni?” Rafiq mengubah topik perbualannya. Malas nak bercerita tentang hari persandingan, elok pula kalau tukar mengenai masa depan.
            “In another four months, In Shaa ALLAH. Just wait and prepare the nice gift for my beautiful princess, okay?” serentak dengan itu, Rafiq ketawa lagi. Mana pula dia nak cekau hadiah untuk bakal anak saudaranya itu? dia sudahlah belum bekerja. Pinjam duit mama, kira hadiah daripada diakah? Dan Rafiq kembali ketawa.

MACAM-MACAM jenis hidangan yang disediakan untuk anak yang baru pulang dari perantauan itu. dari pukul 6 petang hinggalah kini, jarum sudah menginjak ke angka 8, Datin Hanora masih sibuk di dapur. Dia hanya berhenti seketika untuk menunaikan solat maghribnya sebentar tadi. Dan kini, dia kembali sibuk menyusun pelbagai jenis juadah di atas meja makan.
            Rafiq yang baru turun memandang meja makan dengan mata yang membulat. Mama ni nak jemput satu taman makan sekali dengan merekakah? Masak sudah mengalahkan orang mahu buat jamuan. Tapi Rafiq hanya diamkan sahaja. Tak mahu bersuara kerana bimbang ibunya berkecil hati dengannya.
            “Amboi ma, macam buat kenduri,” tegur Rizal yang baru turun bersama isterinya. Rafiq hanya menyengih menunjukkan barisan giginya. Kejap lagi adalah telinga yang kena tarik tu.
            “Kamu ni, mama masak banyak salah, mama masak sikit salah. Eh, kalau macam ni, mama tak nak masaklah lepas ni,” balas Datin Hanora seakan berjauh hati. Rizal dan Rafiq bergabung gelak. Tahu dengan gurauan yang dilakonkan mamanya saat ini.
            “Ma, janganlah macam tu. Fiq baru arrive ni, mama dah tak nak masak. Lidah Fiq ni terasa-rasa lagi nak makan air tangan mama tau. Kempunanlah Fiq kalau mama gantung lesen masak mama. Abang tu lainlah ma, dah ada tukang masak baru. Fiq ni?” Rafiq memujuk mamanya sekali gus mengenakan abangnya. Rizal menjelir lidah tanda geram dan tak berpuas hati.
            “Kalau macam tu, awak carilah tukang masak juga. Boleh mama letak jawatan chef,” usik Datin Hanora. Tangannya ligat menumis sambal di dalam kuali.
            “Tukang masak a.k.a bibik bolehlah, ma. Tapi kalau nak cari tukang masak merangkap pengurus rumah tangga tu, nanti dululah ma. Fiq ni, kerja pun belum lagi, mana ada yang nak pandang. Lainlah abang, dah ada life sendiri,” ujar Rafiq perlahan. dia duduk di kerusi makan. Tangannya menuang air ke dalam cawan sebelum dia meneguk perlahan. rizal tersengih. Di mindanya ada idea jahat bersarang.
            “Fiq, nak abang bukakan borang cari jodoh tak? Mana tahu ada yang berminat nak isi,” Aleeya yang membantu ibu mertuanya mencuci pinggan mencebikkan bibirnya. Menyampah mendengar kenyataan yang dikeluarkan suaminya. Sedangkan tak buka borang cari jodoh pun dah beratur yang menunggu, kalau dibuat betul-betul borang tu, agaknya sesak jalan sampai ke Singapura dengan orang beratur menunggu giliran.
            “Amboi, mentang-mentang dia dah lepas. Suka hati mencadangkan yang pelik-pelik. Apa, kamu ingat cari jodoh tu macam cari kerja jawatan tea lady dekat office kamu tu?” soal Datin Hanora. Tangannya menarik cuping telinga anak sulongnya itu. Rafiq yang memandang tersengih. Kan dah cakap! Dia menaikkan ibu jari ke arah abangnya yang memegang cuping telinga yang sudah merah.
            “Sakitlah, ma,” adu Rizal.
            “Tulah akibat kalau bagi idea mengarut,” balas Datin Hanora selamba. Rizal merapati adiknya yang hanya buat muka selamba. Rafiq hanya memandang mamanya yang leka menghidangkan udang sambal ke dalam mangkuk sebelum terasa perit di bahagian pinggangnya. Dia merenung abangnya yang sudah berlalu ke arah isterinya di sinki dapur.
            “Sakitlah abang,” marah Rafiq. Giliran Rizal pula yang menunjukkan thumbs up kepada adiknya. Aleeya menggelengkan kepalanya perlahan. begini rupanya perangai suaminya di rumah. Sungguh tak matang. Aleeya tergelak kecil. lebih baik tak matang dari kasanova. Sekurang-kurangnya tak menyakitkan hati orang lain.

MAKAN malam terasa ceria bagi tiga beranak itu. tapi bagi Aleeya makan malamnya sungguh hambar. Umpama dia dipaksa menelan pasir dan meminum air hujan. Sungguh sakit rasanya. Sakit hati dengan lelaki di sebelah ibu mertuanya saat ini.
            “Fiq, lepas ni apa plan kau?” tanya Rizal ingin tahu. Dia mengambil potongan buah naga yang dipotong isterinya sebentar tadi sebelum dimasukkan ke dalam mulut.
            “Lepas ni, of course nak cari kerja, maintainkan kewangan and baru nak fikir benda lain,” beritahu Rafiq selepas meneguk air entah untuk kali keberapa. Dia menuang kembali air ke dalam gelas lut sinar yang digunakannya. Entah kenapa, berada dalam ruang yang sama dengan Aleeya buat hatinya rasa terbakar, mungkin kerana cara penerimaan gadis itu yang jelas terpaksa. Jadi, cara untuk menghapuskan rasa panas itu, dengan meminum air berbaldi-baldi.
            “Kenapa nak cari kerja? RH holdings ada. Kerjalah dengan abang,” Datin Hanora bersuara sedikit tidak berpuas hati. Rafiq tersenyum memandang ibunya.
            “Memanglah RH Holdings ada. Tapi, kalau boleh Fiq nak start dari bawah. I mean, Fiq nak rasa susah senang pergi interview, perasaan happy dapat jobs and kerja dengan apa yang Fiq usahakan. Biarlah Fiq cari pengalaman kat tempat orang dulu. Bolehkan, ma?” lembut suara Rafiq memberitahu perancangannya. Aleeya tersenyum sinis. Cari pengalaman kerja ke cari pengalaman menggatal? Sudah-sudahlah nak menipu!
            “Alah, ma. Fiq tu bukan apa sebenarnya. Dia takut kalau dia kerja dengan abang, dia tak boleh nak menggatal dah. 24/7 bawah pengawasan abang, kan?” usik Rizal. Ayat yang keluar dari mulut Rizal seolah memahami apa yang berada di minda isterinya saat itu. Rafiq lepas gelak.
            “Tak ada maknanya, bang. Kalau nak menggatal sangat, baik aku jadi ulat beluncas. Lagi best,” Rafiq membalas sarkastik. Dia bukan berselindung atau menjaga imejnya di depan Aleeya atau ahli keluarganya yang lain tapi itulah hakikat sebenarnya. Sejak hubungannya hancur dengan Aleeya, dia sudah tiada hati lagi nak mencari mana-mana gadis. Padanya biarlah masa yang menentukan segala-galanya.
            Keterujaannya untuk pulang ke Malaysia berbaloi. ALLAH permudahkan segala-galanya. Dia tidak perlu bersusah payah mencari Aleeya, ALLAH pertemukan dia dengan Aleeya dari hari pertama dia menjejakkan kaki di bumi bertuah ini. Aleeya ada di depan matanya tapi dengan status berbeza. Status isteri orang atau lebih tepat lagi, status isteri abang kembarnya!
            “Orang bercakap, dia mengelamun pula? Dah sampai ke mana? US?” sindir Rizal. Rafiq tersengih. Dia memandang mamanya yang duduk di sebelah. Ada perkara yang ingin dibincangkan.
            “Bukan mengelamun  tapi baru habis buat kira-kira,” kata-kata Rafiq membuatkan abang dan mamanya melakarkan wajah beriak aneh. Cuma Aleeya yang masih selamba. kata-kata Rafiq dari mula sehinggalah kini langsung tidak menarik minatnya.
            “Fiq rasa buat masa sekarang ni, Fiq nak cari kerja luar dari Selangor dengan Wilayah. Fiq nak try tempat baru. Maybe Pantai timur or Pantai Barat,” kata-kata spontan yang keluar dari mulut Rafiq menyentakkan semua termasuklah Aleeya.
            “Fiq… Fiq nak tinggalkan rumah ni ke?” soal Rizal tidak percaya. Baru saja dia melepaskan rindu pada kembarnya itu, adiknya sudah buat keputusan untuk keluar pula.
            “Bukannya Fiq tak balik langsung, Fiq Cuma nak cari rezeki di tempat orang. Tu je. Bolehkan?” ujar Rafiq berharap. Dia tahu mama dan abangnya susah untuk melepaskan dia pergi tapi dia tekad. Dia mahu keluar dari rumah ini. Keluar dari pandangan tajam Aleeya. Buat apa tinggal di rumah sendiri kalau hati rasa tak tenang, rasa sakit? Dia tahu Aleeya marahkannya, jadi dia tak mahu menambah kemarahan di hati wanita itu. dia takut kalau makin lama hal ini makin besar dan abang serta mamanya tahu mengenai hubungan lama mereka yang dulu. Dan lebih tepat lagi dia tak mahu Aleeya pergi dari rumah ini, pergi meninggalkan hati milik Rizal.
            “Fiq baru sampai rumah sehari, sekarang ni Fiq nak keluar lagi?” soal Datin Hanora tidak percaya. Rafiq tepuk lembut bahu mamanya.
            “Ma, bukannya Fiq nak keluar besok pun. Fiq nak try apply dulu. Kalau dapat, Fiq pergilah. Kalau tak nampaknya terpaksalah buka pintu RH Holdings,” ucap Rafiq bersama senyuman. Datin Hanora tersenyum nipis. Tahu yang dia tidak mampu menahan anak bujangnya itu.
            “Ikut Fiqlah. Mana yang terbaik, ma restu saja,” ucap Datin Hanora akhirnya memberi kebenaran. Rafiq tersenyum manis.
            “Abang ada contact dengan Syarikat Nautica Sdn. Bhd. Kau nak try tak? Tak silap abang diorang tengah cari engineer,” Rizal yang diam tiba-tiba bersuara. Rafiq yang sedang mencuci pinggan memandang abangnya dengan riak yang tak dapat ditafsirkan.
            “Kau ni macam menghalau Fiq je, bang,” usik Rafiq. Rizal menggetap bibirnya.
            “Jangan nak mengarut, boleh tak?” balas Rizal. Walau pun pelik dengan perangai adik dan isterinya, Rizal pendamkan saja. Padanya masing-masing punya sejarah silam. Biarlah masa membongkarkannya jika perlu. Jika tidak, diamkan saja. Semua telah berlalu, kenapa perlu diungkit?
            Rizal yang mendengar jawapan abangnya ketawa kecil. Dia berlalu ke ruang tamu rumah untuk menonton televisyen meninggalkan ahli keluarga lain yang masih berbincang. Di mindanya dia menimbang-nimbang tentang cadangan abangnya tadi. Nak ke tak nak? Nak ke tak nak?
***
“TAHNIAH! Awak boleh mula kerja besok. Come, I show you, your room,” suara Tan Sri Hadi menyentak lamunan Rafiq. Dia tersenyum dan menyambut tangan tua itu. kemudian berlalu mengekori Tan Sri Hadi menuju ke bilik kerjanya.
            “This is your room. Feel free to change anything. This is Ilham, your assistant,” Tan Sri Hadi memperkenalkan seorang lelaki berpakaian kemas yang berada di kubikel tidak jauh dari bilik kerjanya. Ilham dan Rafiq berbalas salam sebaik sahaja Tan Sri Hadi meninggalkan mereka berdua.
            “Ilham,” Ilham memperkenalkan dirinya sekali lagi. Rafiq tersenyum dan mengangguk.
            “Rafiq. Izral Rafiq,” Ilham mengangguk tanda mengerti. Rafiq kemudiannya meringankan mulut berbual dengan lelaki yang baru dikenalinya itu. ilham juga seorang yang peramah, jadi memudahkan Rafiq untuk bekerjasama dengan lelaki itu. Rafiq mula membuka fail-fail dan laporan syarikat. Bila tidak faham, ringan sahaja mulutnya bertanya Ilham dan Ilham pula tidak kekok membantu.
            “Kau tinggal mana?” tanya Ilham sebaik sahaja mereka tiba di parkir kereta. Jarum jam sudah menghampiri 5.30 petang. Walaupun di suruh masuk bekerja esok, tapi Rafiq bagai disuntik semangat baru. Jadi seharian itu, dai hanya menilik laporan syarikat dan beberapa perkara penting yang harus diketahuinya.
            “Aku tinggal dekat taman Serambai. Menyewa dekat situ,”
            “Lah, satu tamanlah ni? Erm, bolehlah lepak minum-minum nanti,” Ilham bersuara sambil tergelak kecil. Rafiq mengangguk perlahan. Cantik, sudah ada teman minum nampaknya!
            “Okeylah, Fiq. Jumpa esok,” pamit Ilham sebelum menderum laju meninggalkan Rafiq yang masih leka dengan telefon bimbitnya.

RUMAH Datin Hanora kembali sunyi sepi selepas sebulan ceria. Datin Hanora melangkah keluar dari dapur menuju ke ruang tamu rumahnya. Entah apalah khabar anak bujangnya saat ini? Hendak di telefon, risau dianggap mengongkong pula. Tapi, tak ditelefon hati tuanya pula yang dilanda kebimbangan.
            Wajah menantunya yang baru melangkah masuk dari halaman dipandang pelik. Entah kenapa dia merasakan yang Aleeya lebih tenang tanpa kehadiran Rafiq di dalam banglo mewah itu. ada rahsiakah yang tersimpan antara mereka berdua itu? Datin Hanora menarik nafas panjang. Moga apa sahaja rahsia itu, tidak menghancurkan hubungan mereka semua. Doanya dalam hati.
            “Ma, nak minum?” soal Aleeya mencantas lamunan Datin Hanora. Wajah menantunya dipandang lembut bersama gelengan menjawab pertanyaan menantunya itu. Aleeya berlalu ke dapur untuk menyediakan minuman buat suaminya yang bakal pulang bila-bila masa saja. Aleeya menarik nafas kelegaan. Sebulan dia hilang makna ketenangan, hari ini dia bagai menikmatinya semula. Memanglah kalau diikutkan dia tiada hak untuk meminta Rafiq keluar dari rumah itu, tapi Rafiq bagaikan tahu yang dia hanya menambahkan sesak di hati Aleeya.
            Suara salam dari arah pintu mematikan lamunan Aleeya. Dia mengukir senyuman manis buat suaminya sebelum mengajak lelaki itu duduk di meja makan. Air yang sudah siap di bancuh di hidangkan untuk suaminya. Datin Hanora melangkah masuk ke dapur beberapa minit kemudian.
            “Ma, tadi abang ada call Fiq. Dia pesan tak payah risaukan dia. Everything under control. He’s doing fine,” beritahu Rizal sebaik sahaja mamanya melabuhkan duduk di hadapannya.
            “Ya ke? Alhamdulillah. Risau juga mama dibuatnya dengan anak seorang tu. Nasib baiklah Rizal call dia. Nak harapkan dia call rumah, memang tidaklah,” rungut Datin Hanora menyebabkan Rizal tertawa kecil. dia faham dengan perangai adiknya itu. jarang benar mahu menghubungi mamanya. Semasa dia di US dulu, sebulan hanya sekali sahaja dia menghubungi mereka.
            Rizal mengalihkan pandang ke arah isterinya yang tiba-tiba membisu. Rizal kerut kening. Tadi semasa dia sampai, wajah itu ceria sahaja. Sebaik nama Rafiq keluar dalam perbincangan mereka, wajah Aleeya bertukar rupa. Statik dan tidak berperasaan. Minda Rizal berlari mengingati peristiwa beberapa malam sebelum adiknya bertugas di negeri orang.

“I DON’T need your kindness. I just need you to go away from my life,” herdik Aleeya. Rafiq mengerutkan keningnya. Perbualan yang pada awalnya biasa bertukar dingin bila Rafiq mula memohon maaf atas perbuatannya dahulu.
            “Apa yang Leeya nak Fiq buat? Leeya kahwin dengan abang Fiq, macam mana Leeya nak Fiq pergi dari hidup Leeya?” tanya Rafiq cuba merasionalkan wanita di hadapannya itu. mata Rafiq merenung langit malam. Aleeya pula sudah mencerlung pandangan memandangnya.
            “So, kau harap aku tinggalkan abang kau? Macam tu? Tak mungkin Rafiq! Rizal tu lelaki terbaik yang pernah aku jumpa. Dia datang waktu aku hilang punca. Dia bagi aku kekuatan saat aku lemah dengan permainan kau. Dia bagi aku kepercayaan bila aku dah benci mendengar perkataan cinta. Dia bangunkan aku bila aku jatuh sebab kau!” Aleeya bersuara separa tertahan. Tidak mahu gara-gara marahnya dia mengejutkan semua orang dalam rumah itu. dan lebih teruk semua orang mengetahui rahsia yang disimpannya. Rafiq mendiamkan diri. Dia tahu Aleeya marah. Dari kata ganti diri itu sudah menunjukkan betapa bencinya Aleeya pada dia.
            “Fiq tak suruh Leeya tinggalkan abang. Fiq tahu Leeya sayangkan abang, cintakan dia malah lebih kuat dari cinta Leeya pada Fiq dulu. Fiq Cuma harap Leeya dapat lembutkan hati Leeya, bagi ruang kemaafan pada Fiq,” Rafiq masih bersuara perlahan. dia tahu dia bersalah. Dia bersalah kerana menjadi mata keranjang. Kalau bukan perangai playboynya, tentu kini dia bahagia dengan Aleeya. Ah, itu semua sudah terlambat. Aleeya milik abangnya kini.
            “Ya! Memang aku sayangkan Rizal lebih dari aku sayang kau dulu. Sama juga macam Rizal. Dia sayangkan aku tanpa ada perempuan lain dalam hati dia. Bukan macam kau! In fact, lepas aku buang semua perasaan aku pada kau, yang ada sekarang ni Cuma benci! Aku benci tengok kau!,” air mata Aleeya mula mengalir di pipi. Amarahnya meluap-luap tak dapat dibendung lagi.
            “Untuk pengetahuan kau, segala layanan baik aku pada kau semata-mata sebab aku nak jaga hati Rizal dan mama. Kalau bukan sebab mereka, jangan harap aku nak bercakap dengan kau. Nak tengok muka kau pun aku tak mahu. Orang macam kau ni, hanya tahu buat perempuan menangis,” Aleeya mengesat pipinya. Ah, untuk apa dia menangis lagi? Dia sudah bahagia dengan Rizal kini. Kenapa perlu dia mengenangkan Rafiq? Aleeya melangkah menuju ke pintu dapur.
            “Untuk maaf, ya! Aku maafkan kau tapi untuk melupakan, maaf aku tak mampu. Aku bukan malaikat, Fiq. Aku ada perasaan. Kalau bukan sebab Rizal, aku rasa saat ni aku masih lagi bodoh menangis untuk kau dan aku masih lagi bodoh sebab sayangkan kau. Dan ya, kau keluarga Rizal, sebab tu aku hormatkan kau lagi. Tapi maaf sekali lagi, sebab layanan aku takkan sama untuk kau dan orang lain,” Aleeya terus berlalu tanpa berpusing ke belakang lagi. Rafiq meraup wajahnya. Dia terasa bagai ada pisau yang menikam-nikam dadanya saat ini. Dan lebih perit, di atas luka itu di perah pula dengan limau. Ouch!
            Rizal masih lagi bersembunyi di ruangan kosong antara pintu sejuk dan dindidng. Tidak ada kekuatan untuk keluar dari persembunyiannya. Memang dia mengharapkan untuk tahu rahsia antara adik dan isterinya tapi dia tidak menyangka begitu besar rahsia yang tersimpan antara mereka berdua. Rizal meraup muka. Apa yang perlu dia lakukan saat ini? Membenci adiknya atau melukakan hati isterinya? Rizal buntu!

“ABANG, kenapa termenung? Minumlah, dah sejuk air tu,” lembut suara Aleeya mematikan lamunan Rizal. Rizal tersenyum sebelum menggelengkan kepala beberapa kali. Karipap di atas meja diambil sebelum dimasukkan ke dalam mulut. Datin Hanora dan Aleeya berbelas pandang. Apa di fikiran Rizal agaknya?
***
RAFIQ berlari tidak tentu arah ke bahagian kecemasan. Wajah mendung Datin Hanora dan Aleeya menampar tubir matanya. Aleeya kelihatan sungguh lemah. Di badannya masih tersarung jubah pesakit berwarna merah jambu.
            “Ma, abang macam mana?” tanya Rafiq sebaik sahaja menyalami tangan wanita itu. Datin Hanora melepaskan nafas berat.
            “Abang masih lagi kritikal. Doktor tengah jalankan pembedahan dan transfusi darah,” beritahu Datin Hanora sayu. Rafiq menutup mata. Dia menarik nafas panjang. Dia tersedar bila ada tangan yang menepuk bahunya dari belakang. Datin Hanora memandang lelaki di belakang Rafiq.
            “Ma, ni Ilham. Assistant Rafiq,” beritahu Rafiq pendek. Datin Hanora hanya mengangguk dan tersenyum ala kadar membalas sapaan Ilham. Rafiq dan Ilham kemudiannya duduk di satu sudut agak jauh dari mama dan Aleeya menanti pintu kecemasan dibuka.
            “Doktor, macam mana dengan anak saya?” mendengar soalan itu, Rafiq pantas mendekati lelaki berjubah hijau yang mempamerkan riak sayu.
            “Kami minta maaf, Datin. Kami dah cuba sedaya upaya kami tapi ALLAH lebih sayangkan En. Rizal,” mendengar kata-kata itu, Rafiq rasakan dunianya berpusing dan gelap. Dia tersedar bila doktor menepuk bahunya lembut menenangkan jiwanya yang mula berkecamuk.
            “Allahuakbar,” hanya itu yang mampu keluar dari mulut Datin Hanora. Hati ibu mana yang tak pedih bila mendapat berita kematian anaknya? Anak yang diharap dapat menjaganya meniti hari-hari tua. Anak yang disayangi pergi terlebih dahulu menghadap Ilahi, hati mana yang tidak hancur? Rafiq terduduk di bangku. Mindanya kosong. Berita itu bagaikan angin lalu di mindanya. Dia merenung wajah wanita di hadapannya yang sudah lencun dengan air mata.
            Stretcher ditolak keluar oleh pembantu perubatan. Ilham menepuk bahu temannya untuk menyedarkannya. Rafiq bangun dari duduk dan menghampiri sekujur badan yang sudah ditutupi dengan selimut putih. Rafiq menghapuskan air mata yang mengalir keluar dari pipinya. Kain yang menutup wajah Rizal disingkap perlahan-lahan. Dia menutup mata sebaik saja wajah abangnya singgah di tubir matanya. Wajah Rizal pucat namun sungguh tenang, polos bagaikan anak kecil yang tertidur kepenatan. Bibir Rizal mengukir senyuman seolah-olah redha dengan takdir yang tertulis untuknya.
            Pembantu perubatan menepuk bahunya untuk menyedarkan Rafiq. Rafiq mengucup lembut dahi abangnya sebelum berundur sedikit ke belakang untuk memberi ruang. Sebaik sahaja kain putih itu menutup kembali wajah Rizal, air mata Rafiq kembali mengalir. Deras, bagaikan sungai tak berempang.
            Moga kau tenang di sana, bang. Aku akan jaga keluarga kita. Aku jaga mama, Leeya dan anak kau. Jangan risau, bang. Kau tunggu kami di sana. Kami bakal menyusul juga. Sayu Rafiq berdoa di dalam hatinya saat stretcher yang membawa abangnya di bawa pergi.
            “Ya ALLAH, Aleeya!” jeritan suara Datin Hanora membuatkan Rafiq mengalihkan pandangan ke arah mamanya. Wajah Aleeya yang sudah rebah dipandang kaku dan suasana di hadapan wad kecemasan gamat seketika.

“KAU pergi! Aku tak nak tengok muka kau! Pergi! Pergi! Kau penyebab semua ni! Kau penyebab suami aku mati! Pergi!” jeritan suara Aleeya menyebabkan Datin Hanora berjalan laju ke wad wanita itu. kenapa Aleeya menjerit? Setahunya tadi sewaktu dia keluar untuk bersolat, ada Rafiq dan Ilham menemani Aleeya yang masih belum sedarkan diri. Aleeya marahkan Rafiq, kah?
            “Aku benci kau! Kenapa kau balik?! Sebelum ni aku gembira dengan dia! Semua sebab kau! Kau perampas kebahagian aku! Kau jahat! Aku benci kau! Aku benci kau…” Aleeya menjerit dan mengongoi persis wanita hilang akal. Kaki Datin Hanora terpasak kemas di pintu wad bersalin. Dia melihat Aleeya meraupkan muka dan memanggil-manggil nama Rizal. Rafiq pula meraup rambutnya ke belakang persis menyimpan seribu satu masalah. Sayu hati tuanya.
            “Aku benci kau! Aku benci! Kau pergi! Aku tak nak tengok muka kau! Kau pergi!” jeritan Aleeya mengisi suasana sepi. Datin Hanora hampir menitiskan air matanya. Ya ALLAH, dugaan apakah ini? Melihat Aleeya yang mula mengambil bantal untuk dibaling ke arah Rafiq, Datin Hanora berlari mendapatkan menantunya itu. tubuh Aleeya di sapa ke dalam pelukan. Dia memujuk Aleeya untuk bertenang.
            “Ma, halau dia ma. Aleeya tak nak tengok muka dia. Halau dia keluar, ma!” pinta Aleeya dalam tangis. Datin Hanora memberi isyarat mata kepada Ilham. Ilham menepuk bahu temannya dan menarik Rafiq keluar. Dengan langkah lemah, Rafiq mengekori.
            “Apa yang dah jadi sebenarnya?” tanya Ilham. Bukan dia mahu menambahkan beban di bahu temannya tapi dia pelik. Pelik melihat perangai Aleeya. Pasti ada yang terjadi sehingga Rafiq mengjadi mangsa bambunya.
            “Abang kemalangan waktu dia nak ke hospital. Waktu tu, dia dapat panggilan yang menyatakan Aleeya nak bersalin. Disebabkan dia rushing dia kemalangan dengan Toyota Hilux yang memang tengah laju waktu tu,” Rafiq menerangkan serba sedikit. Dia pun tahu sebab dia bertanya pada polis yang melepaskan jenazah abangnya untuk dibawa keluar daripada hospital.
            “Then, tu bukan salah kau. Kenapa Aleeya macam tak boleh terima kenyataan?”  mendengar soalan Ilham, Rafiq tersenyum sinis. Dia menyandarkan kepalanya ke dinding. Wajah temannya dipandang dengan ekor mata.
            “Kau tahu, Am. Aku ni manusia paling bodoh sekali,” Ilham tidak bersuara. Dia hanya mendengar luahan hati sahabat karibnya itu.
            “Aku… dulu, aku playboy. Hidup aku hanya untuk menyakitkan hati perempuan. Pada aku, perempuan ni hanya one-time-love je. Mana-mana aku pergi, aku dapatkan perempuan dan aku putus lepas aku couple dalam sebulan dua. Aku biarkan diorang merana. Tak macam Rizal. Dia lelaki yang setia, kalau bercinta dia akan sayang perempuan tu sungguh-sungguh,” Ilham masih membisu. Walaupun sedikit aneh kenapa Rafiq membuka hikayat cintanya diwaktu dia sedang bersedih, tapi Ilham layankan sahaja.
            “Sampailah satu hari aku jumpa seorang perempuan ni. Dia baik, cantik, lemah lembut, sopan. Pendek kata, full package untuk jadi isteri solehah. Waktu tu aku tekad, aku nak hentikan perangai playboy aku dan fokus pada dia seorang je. But, things when to worse bila aku still simpan sikit perangai playboy aku dan it ends up bila dia tangkap aku dengan perempuan lain dan kitorang putus,” Rafiq menyungging senyuman sinis. Mungkin mentertawakan kebodohan dirinya sendiri.
            “Lepas aku putus, aku bawa diri ke US sebab aku rasa aku manusia paling bodoh mainkan perasaan perempuan sebaik dia. Aku hilang hubungan dengan dia. Aku tak pernah jumpa dia, tak tahu khabar berita dia sampailah one fine day aku jumpa dia sebaik saja aku arrive kat Malaysia. Tapi pertemuan tu sangat tragis. Dia nak mengelak dari aku, dia bencikan aku dan the most sad story is dia isteri orang. Aku nampak dia happy sangat dengan suami dia, dan aku tumpang gembira,”
            “Aku bawak diri lagi dengan harapan aku nak biarkan diorang hidup bahagia. Sampailah semuanya punah. Suami dia meninggal dalam perjalanan nak ke hospital sebab nak temankan dia di wad bersalin dan teruja dengan kelahiran anak sulung mereka,” mendengar ayat terakhir itu, Ilham berpaling memandang temannya yang menutup mata tapi masih mengukir senyuman sinis untuk dirinya sendiri. Ayat Rafiq sama dengan apa yang menimpa Rizal, jadi takkanlah…
            “Ya, apa yang kau fikirkan tu betul. Perempuan tu Aleeya. Sebab tu dia marah sangat dengan aku,” Rafiq meraup mukanya dengan tapak tangan.
            “Patutnya aku yang pergi, Am. Aku ni kejam, Rizal baik. Tapi biasalah orang yang baik, ALLAH lebih sayang, kan? Aku tahu perangai Rizal, aku berkawan dengan dia sejak dalam perut. Aku sayang dia, Am. Tak pernah terlintas dalam hati aku untuk rampas Aleeya atau doakan yang bukan-bukan untuk diorang. Aleeya takkan maafkan aku, Am. Takkan dan tak mungkin,” Rafiq bersuara sayu. Ilham menepuk bahu temannya memberi semangat.
            “Sabarlah Rafiq. Ini ujian untuk kau dan keluarga kau. Redhalah,” Rafiq mengukir senyuman nipis. Alhamdulillah, ALLAH hadiahkan dia dengan kehadiran Ilham di saat dia lemah begini.
            “Oh ya, tadi ada staff nurse bagi ni dekat aku waktu kau balik uruskan jenazah tadi. Dia kata jumpa dalam poket depan baju arwah. Dia rasa dia patut bagi ni pada kau,” Ilham menghulurkan sampul surat berwarna putih kepada Rafiq. Lama Rafiq memandang sampul surat itu sebelum dia mengambilnya. Dia mengukirkan senyuman dan mengucapkan terima kasih kepada Ilham. Ilham hanya tersenyum dan bangun dari duduknya bila Rafiq mula membuka surat itu. Dia mahu memberikan ruang dan privasi kepada lelaki itu untuk membaca coretan terakhir kembarnya.
***
TIGA TAHUN LAPAN BULAN…

HAMPIR empat  tahun kejadian malang itu menimpa keluarga Datin Hanora. Rafiq masih bekerja di Nautica Snd Bhd. meninggalkan Datin Hanora bersama Mak Melah, pembantu rumah yang digajikan untuk menemani mamanya. Bukan dia tidak mahu bekerja di RH Holdings tapi Rafiq masih tak mampu. Tak mampu untuk menghapuskan bayang-bayang Aleeya dalam hidupnya walaupun kini Aleeya sudah kembali berpindah di rumah ibu kandungnya di Melaka. Hendak membantah, Datin Hanora tahu peritnya rasa kehilangan suami. Lebih-lebih lagi dengan anak yang belum mencecah usia 1 hari sewaktu kehilangan suaminya. Sudahnya Datin Hanora biarkan sahaja.
            Sudah menjadi rutin mingguan Datin Hanora untuk ke Melaka melawat besan, menantu dan cucunya. Kalau Rafiq sibuk dan tidak boleh membawanya ke Melaka, pasti Rafiq akan gajikan Pak Mail untuk membawa mamanya melepaskan rindu pada menantu dan cucunya.
            “Assalamualaikum,” laungan salam dari luar rumah menghentikan kerja Aleeya yang sedang leka mencuci pinggan di dapur. Jam di dinding sudah menginjak ke 11.20 pagi. Pastinya tetamu yang dinantinya sudah tiba. Aleeya berlalu keluar untuk menjemput tetamunya masuk.
            “Mama,” tegur Aleeya apabila melihat ibu mertuanya leka berbual dengan ibunya. Rafiq yang hanya diam dipandang sekilas.
            “Eh, jomlah kita masuk. Rafiq, jom,” pelawa Puan Asiah. Datin Hanora mengangguk bersama senyuman tapi Rafiq menolak. Dia memilih untuk duduk di pangkin di bawah pohon rambutan. Di situlah dia gemar menghabiskan masa setiap kali menemani Datin Hanora ke rumah besannya. Dia jarang ikut naik ke rumah. Tak mampu bertemu pandang dengan Aleeya. Bermacam-macam-macam perasaannya setiap kali melihat wajah itu. jadi, Rafiq hanya naik pada waktu makan tengah hari. Lagi pun, waktu makan itu lebih singkat dan tidak menyesakkan jiwanya.
            “Ayah Rafiq,” suara halus milik kanak-kanak perempuan menampar gegendang telinga Rafiq sekali gus mematikan lamunannya. Dia tersenyum memandang Aimi Riana yang sedang berlari mendapatkannya yang sedang duduk termenung dipangkin. Wajah Aimi yang ceria dipandang penuh kasih.
            “Anak Ayah Rafiq dari mana ni?” soalnya lembut sebaik sahaja anak kecil itu berada dalam dakapannya. Pipi montel Aimi Riana dicium lama.
            “Jalan-jalan dengan tok wan,” beritahu anak kecil itu dalam bahasa kanak-kanaknya. Rafiq menyalami tangan ayah Aleeya yang menghampirinya di pangkin kayu itu.
            “Lama sampai Rafiq? Kenapa tak masuk dalam?” tegur En. Adam berbahasa. Rafiq berganjak sedikit memberi ruang untuk En. Adam duduk.
            “Tak adalah lama, pak cik. Baru saja ni. Saja duduk di luar ambil angin,” selindung Rafiq. Encik Adam tersenyum nipis. Dia tahu Rafiq berbohong. Bukannya dia buta, dia dapat baca perilaku anaknya setiap kali Rafiq muncul. Encik Adam melangkah naik, mahu bertemu dengan besannya sekali gus meninggalkan Rafiq berdua dengan Aimi di pangkin kayu itu.
            Rafiq memerhatikan Aimi yang masih leka dengan mainannya. Dia mengukir senyuman sayu. ‘Bang, ni anak kau. Aimi Riana nama dia. Comelkan? Macam kau kecik-kecik dulu. Jangan risau bang, aku tak pernah lupa tunjuk gambar kau tiap kali aku datang sini. Aku nak dia kenal dengan papa dia. Lelaki yang paling baik di dunia ni,’
            “Aimi… kenapa duduk luar tu? Aimi tak jumpa nenek lagi ni,” panggilan Aleeya mematikan lamunan Rafiq. Dia memandang ke arah pintu kayu rumah dua tingkat itu sebelum menurunkan Aimi dari pangkin. Bersama wajah masam, Aimi berlalu mendapatkan ibunya. Dia sebenarnya belum puas melepaskan rindu pada Rafiq tapi ibunya pula seakan menghalang. Aleeya bagaikan mahu menghadkan hubungan antara Rafiq dan Aimi.

PETANG itu sebelum pulang semula ke Kuala Lumpur, Rafiq membawa Aimi berjalan-jalan di sekeliling kampung. Gelagat Aimi yang lincah membuatkan Rafiq tercungap-cungap mahu mengejar langkahnya. Sebaik sahaja berjaya menghampiri Aimi, tubuh kecil itu digendong ke dalam pelukan yang erat. Apa lagi, ketawa gembiralah si kecil itu.
            “Ayah Rafiq, kenapa Ayah Rafiq tak tinggal dekat sini?” tanya Aimi polos. Rafiq mengerutkan kening. Soalan yang sama ditanya setiap kali Rafiq ingin pulang semuala ke Kuala Lumpur dan setiap kali itulah Rafiq mengeluarkan jawapan yang sama.
            “Ayah Rafiq kerja. Mana boleh tinggal sini,” pujuk Rafiq lembut. Dia berjalan lambat-lambat menuju ke rumah ibu Aleeya. Satu, disebabkan kepenatan berlumba lari dengan si lincah itu. dua, sebab dia tak mahu berpisah dengan Aimi terlampau cepat.
            “Aimi nak main dengan Ayah Rafiq selalu. Macam ni tak best,” komen Aimi. Pipi anak saudaranya itu dicium Rafiq lama.
            “Kenapa pula tak best?” tanya Rafiq
            “Yalah, Ayah Rafiq datang kejap-kejap. Aimi tak puas main lagi, Ayah Rafiq dah balik KL,” rungut Aimi. Badannya di lentokkan menghampiri tubuh Rafiq dan dengan penuh kasih sayang, Rafiq memeluk tubuh kecil itu erat.
            “Alah, nanti Ayah Rafiq datang lagi, kan? Aimi tunggulah,” pujuk Rafiq lagi. Aimi melentokkan kepalanya ke bahu Rafiq pula. Rafiq mengusap rambut anak itu dengan penuh kelembutan. Dia tahu Aimi merajuk tapi apakan daya, dia tiada kuasa untuk mengubah takdir yang sudah tertulis.
            Bukan keluarganya dan keluarga Aleeya tak pernah mencadangkan supaya mereka bersatu sekali gus menjadi ayah kepada Aimi tapi Aleeya yang tidak mahu. Berbagai-bagai alasan direka dan dicipta untuk menentang cadangan itu. rafiq pula hanya menurut. Dia tidak mahu memaksa Aleeya. Aleeya membenarkan dia untuk berjumpa Aimi pun sudah dikira bernasib baik untuknya. Tapi untuk memaksa Aleeya berkahwin dengannya untuk menggantikan tempat Rizal sebagai ayah Aimi? Memang dia tak akan buat.
            “Ha, dah balik pun cucu nenek! Pergi mana tadi?” soal Datin Hanora ceria. Dia melihat wajah cucu dan anak bujangnya yang cukup mesra pada pandangan mata tuanya. Rafiq menurunkan Aimi dari dukungan dan anak kecil itu laju berlari ke pokok bunga kertas yang di tanam opahnya.
            “Tak ke mana pun, ma. Pusing-pusing je,” balas Rafiq melabuhkan duduk di sisi Encik Adam. Melihat langkah Aleeya yang menghampiri bersama dulang di tangan, Rafiq hanya memandang dengan pandangan kosong. Sebaik saja Aleeya melabuhkan duduk di sisi Pn Asiah, Rafiq bangun mendapatkan anak saudaranya yang leka bermain dengan kuntuman bunga kertas yang bertaburan di tanah.
            Aleeya sedar Rafiq bangun. Dia merenung lelaki itu seakan meminta penjelasan. Kenapa Rafiq begini? Separuh hatinya seakan terseksa dengan cara Rafiq melayannya kini. Dia teringat kata-kata yang pernah diucapkan pada Rafiq beberapa bulan lalu.

“SALAH ke family kita nak kita bersatu?” tanya Rafiq perlahan. dia masih duduk di tepi kolam milik Encik Adam. Bajunya yang kotor terkena tanah langsung tidak diendahkan.
            “Salah! Sangat salah!” bangkang Aleeya tegas.
            “Cuba Aleeya bagitahu, apa salahnya?” Rafiq meminta penjelasan. Main tarik tali dengan Aleeya sampai bila pun takkan habis. Wanita itu takkan pernah berhenti. Aleeya memandang lelaki itu dengan pandangan cukup tegas.
            “Banyak sebabnya. Pertama, Aleeya tak nak disakiti lagi. Kedua, Aleeya benci Rafiq. Ketiga, Aleeya tak nak perjudikan masa depan Aleeya dan Aimi. Keempat, Aleeya masih sayangkan Rizal. Kelima, tak ada siapa yang mampu gantikan tempat Rizal sekali pun orang tu adalah adik dia,” Aleeya bersuara sinis. Rafiq mengurut batang lehernya. Dia melepaskan keluhan.
            “Sekalipun bukan dengan saya, takkan Aleeya tak pernah terfikir untuk berkahwin semula,” Rafiq mengalah memujuk Aleeya untuk menjadi isterinya. Dia tahu Aleeya betul-betul membencinya atau pada kamus hidup Aleeya, dia adalah perampas kebahagiaan wanita itu. tapi untuk memujuk Aleeya berkahwin lagi, dia takkan mengalah. Dia ada amanat yang digenggam kemas.
            “Kenapa saya kena kahwin lagi? Saya bahagia sekarang ni,” tegas Aleeya. Benci betul dia bila soal kahwin ini berbangkit. Rafiq tersenyum nipis.
            “Aleeya bahagia atau tidak, saya tak tahu. Yang saya tahu Aimi tak bahagia. Dia perlukan perhatian seorang ayah, Aleeya,” komen Rafiq. Aleeya menggeleng. Matanya tajam memandang Rafiq.
            “Tak! Dia tak perlukan ayah. Cukup dengan kasih sayang yang saya berikan. Dia tak perlukan ayah. Lagi pun, papa Aimi Rizal. Hakikat tu tak akan berubah,” Aleeya masih bertegas.
            “Yes! Memang Rizal papa Aimi. Tak ada siapa mampu sangkal hal itu. tapi awak yakin Aimi bahagia tanpa seorang ayah?” suara Rafiq sedikit tinggi. Hilang kesabarannya mahu berlawan cakap dengan wanita ini.
            “Enough! I said enough! I hate this discussion. Aimi tak perlukan ayah dan saya tak akan kahwin lagi. Titik!” putus Aleeya. Rafiq menggeleng perlahan. dia menghembuskan nafas berat.
            “Berhenti hidup dengan ego, Aleeya. Fikirkan tentang perasaan orang lain. paling tidak fikirkan tentang Aimi, dia anak awak. sanggup awak lihat dia membesar tanpa kasih sayang seorang ayah? Sampai hati awak tengok dia sedih bila kawan-kawan dia yang lain ada ayah? Saya tahu saya bukan sesiapa dalam hidup awak, saya tak ada hak nak menentukan apa yang betul dan apa yang salah. Tapi saya ayah saudara Aimi. Saya ada hak untuk tengok yang terbaik buat dia. Saya sayangkan dia, saya nak yang terbaik untuk dia,” Rafiq bangun dari duduknya. Bersedia untuk melangkah pergi.
            “Dan yang pasti, saya sayangkan awak dan tak pernah berhenti cintakan awak,” ucap Rafiq sebelum berlalu menuju ke pintu kayu, meninggalkan Aleeya termangu sendirian.
            Dan sejak hari itu, Rafiq menjauhkan dirinya dari Aleeya. Meninggalkan rasa sedih di lubuk hati wanita itu.

“ALEEYA, mama balik dulu ya. Nanti senang-senang datanglah ke rumah,” Datin Hanora menghulurkan tangan untuk berpamitan dengan menantunya. Aleeya tersentak. Jauh benar dia mengelamun.
            “In Shaa ALLAH, ma. Nanti Aleeya ke sana,” ucap Aleeya entah untuk ke berapa kali. Setiap kali ucapan itu keluar dari mulut Datin Hanora, setiap kali jugalah Aleeya membalas dengan jawapan yang sama.
            Aleeya memandang ke arah Rafiq yang menggendong Aimi. Dia lihat Aimi menangis sama seperti selalu dan Rafiq dengan lembut memujuk si kecil itu. hati Aleeya jadi sesak dan sayu. Ya ALLAH, apa makna semua ini?
***
ALEEYA duduk di muka pintu memerhatikan pangkin rehat di bawah pokok rambutan yang selalu menjadi tempat Rafiq berehat setiap kali datang ke rumah keluarganya. Seakan terbayang wajah Rafiq yang duduk bersendirian dan bergelak ketawa dengan anak kecilnya, Aimi. Ah, sudah Aleeya! Baru sekejap Rafiq balik, kau dah nanar? Tulah, sombong lagi dengan dia.
            “Jauh termenung?” tegur Pn Asia. Aleeya memandang wajah ibunya yang turut sama duduk di sebelahnya di muka pintu rumah.
            “Orang tua-tua kata, jangan duduk depan pintu rumah, jodoh lambat sampai nanti,” usik Pn Asiah. Aleeya tersenyum nipis.
            “Boleh pakai ke ibu pesan orang tua-tua tu,” balas Aleeya tergelak kecil. Pn Asiah turut sama tersenyum. Dia kemudian memerhatikan anaknya yang kembali merenung pangkin kayu itu.
            “Aleeya fikirkan apa tu?” soal Pn Asiah mengorek isi hati anak perempuannya itu. aleeya menggeleng. Bukan tidak mahu berkongsi cerita tapi dia malu. Mana tidaknya, dulu dia yang paling kuat membangkang bila ibu dan mama mahu satukan dia dan Rafiq.
            “Aleeya, Aleeya tahu tak kenapa manusia tu diciptakan lelaki dan perempuan?” tanya Pn Asiah. Soalan mudah! Getus hati Aleeya. Dia merenung ibunya yang masih tidak lekang dengan senyuman manis.
            “Sebab ALLAH ciptakan manusia berpasang-pasangan dan saling lengkap-melengkapi,” jawab Aleeya. Senyuman Pn Asiah makin melebar.
            “Pandai pun anak ibu! Jadi kenapa Aleeya menolak untuk berpasangan?” tanya Pn Asiah akhirnya. Aleeya merenung ke arah ibunya lama. Tak terjangka soalan itu akan keluar dari mulut ibunya.
            “Sedangkan ALLAH sendiri berfirman dalam surah Adz-Dzariyaat, ayat 49 ‘Dan segala sesuatu kami jadikan berpasang-pasangan, supaya kamu mengingat kebesaran ALLAH.’ Ada juga ALLAH nyatakan dalam surah Al-Fathir, ayat 11 ‘Dan ALLAH menciptakan kamu dari tanah kemudian dari air mani, kemudian Dia menjadikan kamu berpasangan (laki-laki dan perempuan). Dan tidak ada seorang perempuanpun mengandung dan tidak (pula) melahirkan melainkan dengan sepengetahuan-Nya. Dan sekali-kali tidak dipanjangkan umur seorang yang berumur panjang dan tidak pula dikurangi umurnya, melainkan (sudah ditetapkan) dalam Kitab (Lauh Mahfuzh). Sesungguhnya yang demikian itu bagi Allah adalah mudah’.” lembut suara Pn Asiah menasihati anaknya. Aleeya terkedu.
            “Maksud ibu?” tanya Aleeya polos dan kurang mengerti.
            “Ibu tahu Aleeya masih cintakan dan sayangkan arwah Rizal tapi Aleeya kena ingat Rizal dah tak ada. ALLAH lebih sayangkan dia. Hidup Aleeya masih panjang. Aleeya kena fikirkan semua dugaan yang akan mendatang. Mampu ke Aleeya nak membesarkan Aimi dalam zaman yang serba mencabar ni tanpa suami di sisi?” Pn Asiah memulakan mukadimahnya. Lembut suaranya meresap jauh ke dasar hati Aleeya.
            “Ibu tahu Aleeya setia. Ibu tak marah malahan ibu bangga. Bangga dengan anak ibu yang pandai menghargai kasih sayang dan cinta seorang suami. Tapi ibu kecewa bila Aleeya mula menidakkan perasaan Aleeya sendiri,”
            “Aleeya jangan ingat ibu tak tahu. Aleeya dah mula sayangkan Rafiq, kan?” Pn Asiah bertanya santai. Aleeya terkedu. Dia memandang ibunya tunak.
            “Mungkin ibu tak pernah tahu apa yang berlaku antara Leeya, Rafiq dan Rizal satu masa dulu. Tapi ibu bukannya bodoh untuk nak tahu perasaan Aleeya sekarang. Aleeya sayangkan Rafiq, Aleeya cintakan Rafiq tapi kenapa Aleeya tak nak mengaku? Kenapa Aleeya nafikan perasaan Aleeya? Kenapa Aleeya malu mengaku? Buat Rafiq sedih, buat Aimi kecewa, kenapa? Kenapa tegar sangat Aleeya buat macam tu?” lembut suara Pn Asiah namun kedengaran sungguh tegas. Bukan dia mahu buat anaknya berjauh hati, tapi dia mahu menyedarkan anaknya itu. bukan dia tak sedar kesedihan di mata Aleeya dengan apa yang berlaku tapi Aleeya masih lagi berpura-pura tidak menyedarinya.
            “Aleeya masih sayangkan Rizal, bu,”jawab Aleeya akhirnya. Pn Asiah menarik kepala anaknya ke bahu. Dilentokkan kepala itu dan tangannya mengusap bahu Aleeya penuh rasa kasih.
            “Leeya sayang, mencintai orang lain tak bermakna Leeya kena padam ingatan Leeya pada Rizal. Mengahwini orang lain tak bermakna Leeya hilangkan perasaan cinta dan sayang Leeya pada Rizal. Biar rasa tu hidup dalam hati Leeya. Dalam lubuk jiwa Leeya yang paling dalam. Tak ada siapa mampu melupakan orang yang dia sayang tapi jangan sampai menyeksa diri sendiri, Leeya,”
            “Betul, Leeya cintakan Rizal tapi Leeya kena buka pintu hati Leeya untu terima cinta orang lain. baru Leeya rasa bahagia,” pujuk Pn Asiah lagi. Aleeya melepaskan keluhan lemah. Air matanya mula bertakung.
            “Kalau lelaki tu cintakan Aleeya, tapi Leeya masih cintakan Rizal. Tu tak adil untuk lelaki tu, bu,” Aleeya mengeluh berat. Dia memejamkan matanya. Dalam kelam, wajah Rizal dan Rafiq saling berganti membuatkan Aleeya kembali mengeluh.
            “Aleeya dengar cakap ibu sayang. Buka hati Leeya untuk terima cinta baru dan Leeya akan dapat membalas cinta tu,” Aleeya menundukkan kepalanya. Dia buntu.
            “Dalam surah Al-Baqarah ayat 216 ‘Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu, ALLAH mengetahui sedang kamu tidak mengetahui’. Kan jelas penerangannya tu,” rambut anak perempuannya diusap manja. Barang yang disimpan di belakangnya dibawa ke peha anak perempuannya.
            “Ini, Rafiq bagi sebelum balik tadi,” Aleeya memandang bunga tulip putih kegemarannya. Pn Asiah bangun meninggalkan anaknya yang masih sibuk termenung mengenangkan orang jauh. Aleeya mengambil bunga tulip putih dari pehanya. Kad ucapan yang dikepilkan bersama dibuka.

‘LOVE is 143
 Give me the chance to be with u’      
-Rafiq-

            Aleeya menatap kad di tangannya itu dalam-dalam. Dia menarik nafas panjang. Dia yakin! Dia tekad! Ini keputusannya!
***
MAJLIS perkahwinan yang berlangsung cukup meriah walaupun hanya sederhana. Jemputan hanya terdiri dari keluarga, sahabat dan tetangga. Rafiq merenung isterinya yang berdiri di sisi. Aleeya masih lagi dengan senyuman manis yang tidak lekang dari bibirnya tanda lega dengan keputusannya.
            Suara tangisan anak kecil menyentak lamunan keduanya. Rafiq memandang ke arah munculnya suara tangisan itu.    
            “Alah, kenapa anak ayah ni? Mengantuk ke sayang?” sejak mereka memutuskan untuk berkahwin, Aleeya telah meminta Rafiq untuk membuang perkataan ‘Rafiq’ di belakang panggilannya dan mereka mengajar Aimi untuk membahasakan dengan cara yang sama.
            Aleeya yang masih berdiri di sebelah Rafiq mengusap kepala Aimi yang berada dalam dukungan Rafiq dengan lembut dan penuh kasih sayang. Dia masih lagi tersenyum. Entah apa dimindanya, Rafiq tak tahu.
            “Nak balik rumah mama bila?” tanya Aleeya memandang Rafiq yang leka menepuk belakang anaknya yang sudah mula melelapkan mata.
            “Petang sikit kot. Tapi sebelum balik rumah mama, saya nak ajak awak singgah satu tempat dulu,” beritahu Rafiq bersama senyuman penuh rahsia. Aleeya kerut kening.
            “Ke mana?” soalnya ingin tahu.
            “You will know soon,” ujar Rafiq sebelum bangun melangkah masuk ke dalam rumah mahu meletakkan anaknya ke atas tempat yang lebih selesa. Aleeya di luar hanya menggelengkan kepala.

“ASSALAMUALAIKUM, abang,” Rafiq memberi salam sebaik sahaja tiba di sebuah pusara yang berhias indah. Aleeya yang memimpin tangan Aimi turut melakukan perkara yang sama. Sayu hatinya, lama rasanya dia sudah tidak datang menziarahi pusara arwah suaminya ini.
            Rafiq menarik tangan Aimi untuk duduk di pangkuannya. Aleeya pula mengambil tempat di sisi suaminya beralaskan tikar yang dibentangkan Rafiq sebentar tadi. Rafiq kemudiannya mengetuai bacaan yassin. Sesekali dia memandang ke arah isterinya yang mengelap tubir mata. Rafiq sendiri hakikatnya tidak mampu menahan sebak setiap kali membacakan yassin buat arqah abangnya itu.
            “Abang, ini Aimi anak kau. Dia dah besar, cantik, pandai jaga diri. Tapi jangan risau, Fiq akan jaga dia macam anak Fiq sendiri. Fiq akan jaga Aleeya juga. Amanah abang, Fiq akan pegang dan simpan sampai bila-bila. Kau jangan risau, bang. Fiq jaga mama, jaga company kita. Kau tenang kat sana. Tunggu kehadiran kami yang bakal menyusul ni,” Rafiq bersuara sebaik sahaja selesai bacaan yassin. Dia turut sama mengelap tubir matanya yang berair.
            “Abang, Leeya dah jadi milik Rafiq. Tapi cinta abang pada Leeya, Leeya akan simpan buat kenangan. Leeya nak simpan semua kenangan kita. Leeya sayangkan abang, Leeya sayangkan Rafiq. Leeya akan jaga Aimi dan anak kami dengan baik. Leeya janji Leeya akan jadi isteri yang baik,” luah Aleeya bersama air mata. Rafiq di sisi memeluk bahu isterinya cuba menenangkan perasaan isterinya yang bersedih. Aimi tiba-tiba bangun dari pangkuan Rafiq. Rafiq memandang aneh gelagat anak itu yang menghampiri pusara Rizal. Batu nisan itu di usap lembut dek tangan kecil milik Aimi.
            “Papa, papa jangan sedih-sedih tau. Aimi dah ada ayah. Ayah akan jaga Aimi dengan mama sama macam papa jaga kami dulu. Aimi takkan lupakan papa. Aimi sayang papa. Ayah cakap papa selalu doa supaya Aimi jadi anak yang baik dan Aimi pun selalu doa supaya Aimi dapat tunaikan impian papa. Aimi selalu doakan papa, mama dengan ayah. Nanti satu hari, kita boleh jumpakan, papa? Waktu tu Aimi nak peluk papa kuat-kuat. Aimi akan selalu doakan papa, mama dan ayah. Aimi akan jadi anak yang baik,” ucapan tulus yang keluar dari mulut si kecil itu menambahkan rasa hiba di hati Aleeya dan Rafiq namun lekas-lekas mereka mengelap tubir mata mereka.
            “Sayang, jom kita balik. Kita jumpa nenek dengan Nek Melah ya,” ajak Rafiq. Aimi mengangguk bersama senyuman lebar.
            “Bye papa. Nanti Aimi datang lagi dengan mama dan ayah,” ucap Aimi polos sebelum meninggalkan pusara yang bertanda Izral Rizal Bin Mohd Riduan. Fiq balik dulu, bang. Nanti Fiq bawa buah hati kau datang lagi. Ucap Rafiq saat matanya memandang sekilas ke arah pusara itu. Aleeya mengendong anaknya bersama senyuman. Dalam hatinya tertanya-tanya, amanah apa yang dikatakan Rafiq tadi?

MALAM selepas menidurkan Aimi, Rafiq berlalu ke bilik tidurnya. Dia sudah berhenti bekerja di Nautica Sdn Bhd krn mahu memberikan tumpuan sepenuhnya pada RH Holdings. Ilham pula telah diambil bekerja dengannya sebagai cara membalas jasa sahabat baiknya yang selalu ada di saat dia susah dan senang.
            “Kenapa berdiri depan pintu ni?” tegur Aleeya. Lamunan Rafiq mati. Dia menggelengkan kepala sebelum membuka pintu bilik dan melangkah masuk diikuti dengan Aleeya di belakangnya.
            “Awak okay tak ni?” tanya Aleeya kehairanan dengan perilaku Rafiq. Rafiq masih lagi berdiri tegak. Tadi depan muka pintu bilik sekarang depan almari pakaian pula. Rafiq tidak membalas sebaliknya hanya tersenyum dan membongkok mengeluarkan sesuatu dari dalam laci bajunya.
            Rafiq memanggil Aleeya untuk menghampiri. Bila Aleeya menghampiri, kertas putih yang berlipas kemas itu disua kepada Aleeya petanda menyuruh Aleeya untuk membacanya. Sebaik saja Aleeya membuka kertas itu, Rafiq berlalu ke balkoni meninggalkan Aleeya untuk menghayati tulisan tangan milik arwah Rizal.
Assalamualaikum buat adikku Rafiq.
Kelakarlah tiba-tiba jadi skema. Maaflah dik, abang kau ni memang kayu sikit. Bab-bab skema-mema ni abang tak reti. Huh, dahlah panjang betul repekan abang.
Fiq, abang tak tahu kenapa tapi abang rasa abang kena tulis juga surat ni. Mesti kau rasa abang ni pelikkan? Hehehe… Dik, seriously abang rasa masa abang dah tak lama. Abang harap sangat kau mampu jaga satu amanah abang ni. Amanah yang agak berat untuk kau, tapi apa ada hal kau kan hebat!
Dik, abang tahu kau pernah bercinta dengan Aleeya. Abang pernah terdengar (terdengar ok, bukan sengaja) perbualan korang dekat taman belakang rumah hari tu. Tapi korang tak perasan sebab abang menyorok balik peti sejuk (well, abangkan kurus). Tak apalah, abang tak kisah dan abang faham sebab semua orang ada sejarah silam masing-masing. Tapi abang kecik hati sebab kau tak pernah nak bincang dengan abang. Alih-alih kau buat keputusan sendiri, keluar dari rumah. Abang tak salahkan kau atau pun Aleeya dalam hal ni. Kau adik abang yang baik. Sebab sayangkan abang, kau mengalah. Kan?
Fiq, lepas abang dah tak ada kau baliklah semula ke rumah. Jaga mama. Mama tu dah tua, dik. Tak ada apa yang dia nak lagi selain dari kasih sayang anak-anak. Dia perlukan teman. Kau temankan mama, ye? Kau budak baik, kan? Kau mesti dengar kata abang kau ni. Senangkan hati mama, dik. Jangan buat dia sedih. Kalau mama nak apa-apa, kau cubalah tunaikan walaupun susah. Jangan buat mama kecik hati dengan kau. Syurga seorang anak lelaki selamanya berada di tapak kaki seorang ibu. Ingat tu, dik. Dari kecik, arwah babah dah pesan jaga mama, senangkan hati dia. Abang tahu kau takkan lukakan hati mama, abang dan arwah babah, kan? Jadi kau kena ambil alih RH Holdings. Jangan bagi alasan Fiq. Babah bina RH Holdings untuk kita, kau kena buktikan pengorbanan babah bukan sia-sia.
Dik, yang ni permintaan dan amanah. Kau tolonglah anggap ni sebagai permintaan abang yang terakhir. Kau tolong jaga Aleeya dan anak abang. Jaga mereka baik-baik. Tolong sayang anak abang macam kau sayang abang (tak boleh, kau selalu cari fasal dengan abang. Kau sayang macam sayang Leeya. Hehehe..) Jaga dia, besarkan dia dalam kehidupan yang penuh agama. Bolehkan, dik? Kalau boleh, abang harap sangat kau dapat kahwin dengan Leeya. Abang tau kau tak pernag berhenti cintakan Leeya kan? Sebab tu kau jauhkan diri dari dia. Sebab kau takut kau rampas dia dari abang, kan? Tapi lepas ni, bila abang dah tak ada, kau kahwin dengan dia, ye dik? Abang tau permintaan abang ni mengarut dan mungkin melawan takdir ALLAH tapi abang minta jodoh korang berdua dikuatkan dan dipanjangkan.
Kalau ditakdirkan tak ada jodoh kau dengan Leeya, abang harap kau dapat pastikan anak abang dapat ayah yang baik dan Leeya dapat suami yang boleh membahagiakan dia. Dan untuk kau, doa abang tak pernah putus, moga kau dapat isteri yang solehah yang dapat membetulkan wayar-wayar kau yang tak berapa nak bersambung tu. Hehehe…
Fasal anak abang, jaga dia macam kau jaga anak sendiri. Sayang dia macam mana kau sayang bakal anak-anak kau. Please Fiq… Abang tak rasa abang sempat tengok dia membesar. Abang Cuma berharap pada kau je. Tolong jaga dia dan Leeya. Jaga mereka dengan penuh kasih sayang. Abang harap sangat, dik. Abang harap kau mampu tunaikan permintaan abang dan tak rasa terbeban.
Tu je yang abang nak tulis. Terima kasih dik. Satu perkara yang kau tak pernah tahu dari abang. Abang sayang kan kau sangat-sangat. Terima kasih sebab lepaskan perempuan yang kau cintai untuk abang kau. Terima kasih untuk pilih jaga hati abang, dari fikirkan perasaan kau. Abang tak mampu nak balas semua tu dik. Terima kasih sangat- sangat.
Dik, abang sayang kau. Kau satu-satunya adik abang dunia dan akhirat (memang abang tak de adik lain pun). Abang berharap sangat permintaan ni tak membebankan kau.
Salam sayang dari satu-satunya abang kau,
Izral Rizal
            Aleeya menghampiri suaminya dengan wajah yang berbalam dengan air mata. Rafiq mengukir senyuman nipis. Pipi isterinya diusap lembut.
            “Saya tak mungkin mampu jadi sebaik abang tapi saya janji, saya janji saya akan jaga, sayang dan cintakan awak selagi saya bernafas,” ucap Rafiq syahdu. Aleeya menyembamkan mukanya ke dada suaminya. Syahdu dia mendengar ucapan yang keluar dari bibir Rafiq.
            “Awak memang tak sebaik dia tapi awak one and only lelaki yang berjaya buat saya hidup semula. Awak lelaki terbaik untuk saya. Macam-macam yang pernah saya cakapkan pada awak tapi awak masih setia di sisi saya. Terima kasih, Rafiq. Saya sayangkan awak. saya cintakan awak. terima kasih kerana sedarkan saya pada realiti itu. Terima kasih kerana pegang pada amanah arwah Rizal. Kalau bukan sebab awak, entah apa yang jadi saat ni,” Aleeya bersuara dalam tangisan. Rafiq turut sama berair matanya. Dia tersenyum manis memandang isterinya.
            Ya, syukur pada-MU Ilahi. ALLAH bukakan pintu hati mereka berdua untuk menerima kebenaran. Kebenaran yang mereka saling mencintai dan saling memerlukan.
            Aleeya merenung wajah suaminya yang masih leka memandang wajahnya yang sudah lencun dengan air mata. Ya ALLAH, kekalkanlah kebahagiaan dan kegembiraan rumah tangga ini. Jika benar dia jodohku, janganlah KAU pisahkannya setelah kau satukan hati kami. Aku sayang dia, Ya ALLAH. Aku yakin dengan aturan-MU. KAU ambil Rizal dari aku dan KAU gantikan dengan lelaki yang lebih menyayangi aku tanpa aku sedari. KAU hadiahkan aku kebahagiaan, kegembiraan dan kesetiaan dari seorang lelaki yang tak berbelah bagi dan pernah ku benci. Terima kasih Ya ALLAH. Sungguh, aku sayangkan dia!
            Ya ALLAH, aku bukan sehebat Sayidina Ali untuk mengimpikan isteri setulus Saidatina Fatimah. Aku jua tidak setampan Nabi-MU Yusuf A.S untuk mendapatkan isteri secantik Zulaikha. Aku tidak seteguh dan seutuh Rasul-MU Nabi Muhammad S.A.W untuk mendambakan isteri semulia Saidatina Khadijah dan sekuat Saidatina Aisyah . Aku hanya lelaki biasa yang punya kelemahan dan kekurangan. Terima kasih ya ALLAH kerana menghadiahkan aku, dia sebagai isteriku. Kuatkanlah aku untuk membimbing dia ke jalan-MU dan keredhaan-MU. Tabahkan aku untuk mengemudi bahtera keluarga ini. Lengkapkan kekurangan aku dengan kelebihan yang dimilikinya. Dengan bantuan-MU, KAU bantulah aku, ya ALLAH. Tulus doa Rafiq dalam keheningan malam. Dahi isterinya dikucup lembut. Lama dia biarkan bibirnya di situ. Tanggungjawabnya sudah bertambah dan bahteranya sudah semakin besar.
            Tanpa cinta, manusia tidak sempurna. Tanpa kasih, manusia hilang arah. Tanpa hati, manusia bisa mati. Tapi cinta, hati dan kasih mampu mencipta kehidupan yang sempurna untuk manusia. Berlandaskan kasih sayang yang hakiki pada Pencipta-NYA, manusia mampu hidup dalam hidup yang penuh harmoni.
-TAMAT-

5 comments:

  1. best sngt...troskn bkat mnulisny writer..kipidap.. ;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. In Shaa ALLAH.. Terima kasih atas sokongan.. :)

      Delete
  2. How do I make money from playing games and earning
    These are https://septcasino.com/review/merit-casino/ the febcasino three most popular forms of gambling, wooricasinos.info and are explained in a very concise and concise manner. The most หาเงินออนไลน์ common forms 바카라 사이트 of gambling are:

    ReplyDelete