SUDAH hampir sebulan berlalu sejak rahsia besar Izzul terbongkar
di tangan Zahra. Dan selama itu jugalah mereka hidup bagaikan orang asing di
banglo mewah itu. Izzul lebih suka tidur di sofa walaupun Zahra tidak pernah
menghalangnya untuk tidur di atas katil. Untuk berbual, jauh sekali.
Masing-masing lebih rela mendiamkan diri kecuali apabila berkumpul bersama Tan
Sri Halim dan Puan Sri Ruby.
“Izzul,” tegur
Tan Sri Halim menepuk bahu menantunya yang sedang termenung. Izzul tersentak.
Dia memandang bapa mertuanya yang menarik kerusi untuk duduk di hadapannya.
“Papa ada benda
nak bincang dengan kamu,” beritahu Tan Sri Halim. Izzul mengangguk. Dia
mengalih pandang ke arah ibu mertuanya yang menarik kerusi di sebelah Tan Sri
Halim. Izzul memandang kiri dan kanan, tiada kelibat Zahra kelihatan.
“Zahra ada di
dapur. Kejap lagi dia ke sini lah tu,” beritahu Puan Sri Ruby seakan memahami
isi hati menantunya. Izzul hanya mengangguk perlahan.
“20 tahun lalu,
papa dan daddy kamu bekerjasama membangunkan Eagles Holdings. Kami bersusah
payah bersama untuk membesarkan empayar perniagaan kami. Daddy kamu yang paling
banyak berjasa di Eagles Holdings,” Tan Sri Halim memulakan mukadimahnya. Izzul
hanya mendengar, tiada niat untuk menyampuk. Dia tidak tahu ke mana hala tuju
perbualan itu dan lebih penting dia perlu menjaga rahsianya daripada
terbongkar.
“Niat kami cuma
satu, supaya keluarga kami bakal hidup senang dengan penubuhan syarikat ini.
Masa tu juga kami memang dah pasang niat untuk menjodohkan kamu dan Zahra
walaupun masa tu kamu baru 10 tahun dan Zahra 5 tahun. Kami berjanji untuk
sama-sama besarkan syarikat tu dan kenalkan di seluruh dunia,” Tan Sri Halim
berhenti lagi. Sayu hatinya mengingati arwah teman baiknya yang sudah pergi
menghadap Ilahi. Izzul memerhatikan isterinya yang baru melabuhkan duduk di
sisinya. Tiada senyuman yang terukir di wajah manis isterinya itu.
“Izzul, papa tahu
pemergian daddy kamu cukup memeritkan buat kamu dan mama kamu. Papa tiada niat
untuk menyimpan semua rahsia ni tapi ini adalah janji papa kepada arwah daddy
kamu,” kata-kata yang keluar dari mulut Tan Sri Halim bagaikan halilintar yang
memanah tepat ke tubuh Izzul. Rahsia? Rahsia apa? Izzul sudah tergamam. Ada
apa-apa yang tidak diceritakan kepadanyakah?
“Rahsia apa, pa?”
tanya Zahra bila melihatkan suaminya bagaikan kehilangan kosa kata untuk
bersuara.
“Izz, papa dah
pindahkan 20% share on your behalf. Papa minta maaf sebab papa diamkan selama
ini. Sebenarnya arwah daddy tak mahu hartanya jatuh ke tangan orang lain jadi
dia minta papa untuk uruskan bahagiannya. Dia risau kalau dia serahkan harta
ini kepada mama kamu, ada lelaki yang berniat tak baik cuba mendekati mama kamu
sekali gus merampas semua harta keluarga kamu. Daddy kamu mahu harta itu hanya
untuk kamu dan mama kamu. Sebab itu papa jaga harta kamu sehinggalah kamu
berkahwin dengan Zahra,” mendengar penjelasan Tan Sri Halim, Izzul menguak
rambutnya ke belakang dengan kasar. Dia tidak percaya dengan apa yang
didengarinya. Semua tersasar dari apa yang difikirkannya.
“Puas hati kau
sekarang? Dapat apa yang kau nak?” soal Zahra kasar mengisi kekosongan yang
mula menyinggah. Terkedu Tan Sri Halim dan Puan Sri Ruby mendengarnya.
“Zahra, kenapa
cakap macam tu dengan Izz?” soal Puan Sri Ruby terkejut. Zahra diam dan hanya
menjeling ke arah Izzul tajam.
“Zahra, I’m
sorry,” pohon Izzul sayu. Zahra bangun dari duduknya. Sebelum beredar, dia
sempat bersuara dalam nada sinis pada lelaki bergelar suaminya itu.
“Sorry kau tak
bermakna bagi aku. Aku doakan kau bahagia,”
“Zahra,” jerit
Tan Sri Halim dan Puan Sri Ruby serentak.
“Apa yang tak
kena dengan budak tu?” tanya Puan Sri Ruby runsing. Dan menambah kebimbangan
bila dia melihat air mata yang menitis di pipi Izzul.
“Izzul, kenapa
ni?” tanya Puan Sri Ruby sambil berpandangan dengan suaminya.
“Semua salah
Izzul, ma, pa! Izzul yang salah. Maafkan Izzul,”Izzul teresak menambahkan
kebimbangan di hati tuan Tan Sri Halim dan Puan Sri Ruby.
“Apa maksud
Izzul?” lembut suara Tan Sri Halim kedengaran. Izzul menyandarkan tubuhnya di
kerusi rehat. Dia menutup matanya. Dia membuat keputusan. Biarlah, biarlah
semua terbongkar. Dia tak mahu hidup dalam dendam lagi.
Dan malam itu,
rahsia perkahwinannya dan Zahra terbongkar satu per satu.
***
HARI ini genap seminggu Izzul kembali ke Villa Idaman. Hari ini
juga genap seminggu rahsia Izzul terbongkar secara besar-besaran. Izzul masih
mengingati setiap bait kata yang keluar dari mulut mama Ruby yang menyentap
tangkai jantungnya.
“Mama tak sangka
Izz sanggup buat macam ni pada anak mama. Mama ingat Izz betul-betul sayangkan
dia, cintakan dia tapi rupanya ada udang di sebalik batu. Kalau inilah yang
Izzul nak, Izzul ambillah balik segala harta Izzul tu. Tapi ingat, mama tak nak
tengok walau sekali pun muka Izzul di sini! Pergi!” herdikan dan tengkingan
Puan Sri Ruby bagaikan audio yang bermain dan berulang di minda dan telinga
Izzul.
Izzul menutup mukanya. Ah, menyesal pun tiada
gunanya! Dia bodoh. Hanya dihasuti syaitan sedikit sahaja dia sanggup
menghancurkan hati perempuan yang dicintai dan disayanginya. Sayang apa,
namanya kalau tega buat dia menangis? Ya ALLAH, aku telah berlaku zalim pada
keluarga mertuaku dan isteriku. Ampunkan aku, ya ALLAH!
“Uhhuukk…uhhuukk!!!”
bunyi batuk yang datang dari bilik Datin Raznah mengganggu lamunan Izzul.
Mamanya jatuh sakit selepas terkejut mendengar berita yang disampaikan oleh
Izzul. Sepanjang minggu itu, Izzul hanya menjaga mamanya yang sakit dan melihat
kesihatan mamanya yang semakin merosot. Tidur Izzul makin tak lena. Runsing
memikirkan kesihatan mamanya dan merindukan insan yang bergelar isterinya.
Izzul duduk di
sisi katil mamanya. Wajah yang semakin pucat itu dipandang penuh kasih. Air
yang dihulurkan ditolak lembut oleh Datin Raznah. Izzul mengeluh. Patutnya dia
bertindak meredakan dendam mamanya bukan ikut sama dengan hasutan syaitan untuk
membalas dendam. Kalaulah dia lebih rasional, pasti semua ini tak terjadi.
Izzul mengeluh kesal.
“Izz, mama nak
jumpa Tan Sri Halim dengan keluarga dia. Mama nak minta maaf,” masuk hari ini
sudah berpuluh kali Datin Raznah meminta perkara yang sama dari Izzul. Izzul
meraup wajahnya. Dia tidak tahu hendak menjawab apa dengan permintaan mamanya
itu. Sudah puas dia menghubungi keluarga mertuanya, namun talian diputuskan
sebaik sahaja mengetahui dia adalah pemanggil talian itu.
“Ma, Izz tak
dapat contact mereka,” Izzul mati akal. Mahu dihubungi telefon bimbit lagilah
mereka tidak mahu mengangkatnya. Datin Raznah mula mengalirkan air mata.
Sungguh, dia menyesal. Dia menyebabkan anaknya terjebak sama dalam pembalasan
dendam ini. Dia merosakkan kebahagiaan anaknya. Ya ALLAH, maafkan aku.
“Izz, mama nak
mati dengan tenang. Mama nak minta maaf dengan mereka. Mama nak jumpa mereka.
Izz tolong mama, ya?” Izzul mula tidak senang hati. Siapa yang suka bila orang
tuanya mula berbicara soal mati. Izzul mengeluh. Tangan mamanya digenggam erat.
“Tolong mama,
Izz,” suara itu cukup sayu. Izzul berteleku sebentar. Dia tidak peduli. Apa nak
jadi, jadilah. Permintaan mama lebih penting.
“Ya ma, nanti Izz
cuba ke rumah Tan Sri Halim,” sekali pun dia dimaki dan dihina, Izzul tidak
gentar. Permintaan mamanya jauh lebih besar dari maruahnya saat ini. Dia keluar
dari bilik mamanya. Sewaktu hendak menuju ke pintu keluar, Izzul berselisih
dengan bibik, pembantu rumah mereka.
“Bik, saya nak
keluar. Tolong tengokkan mama, ya?” pesan Izzul sekilas pada bibik sebelum dia
berlalu keluar.
“Baik, encik,”
“Kalau ada
apa-apa hal, hubungi saya secepat mungkin. Oh ya bik, kalau Khalif ke mari
beritahu dia saya ke rumah Tan Sri Halim,” Izzul sempat berpesan bila teringat
tentang sepupu karibnya yang akan datang petang itu melawat mamanya. Izzul
pantas keluar ke rumah Tan Sri Halim kemudiannya.
SAMPAI di hadapan banglo mewah itu, Izzul berkira-kira untuk
keluar dari keretanya. Suara keras Tan Sri Halim memberi amaran jelas
kedengaran ditelinganya.
“Kami tak mahu
penjelasan. Kami tak mahu tahu apa-apa fasal kamu. Pergi! Jangan jejakkan kaki
ke sini lagi!”
Izzul meraup
rambutnya sekali lagi. Ya ALLAH, bantulah hamba-MU ini. Pohon Izzul sambil
menekan loceng. Beberapa minit kemudian wajah bengis Tan Sri Halim dan Puan Sri
Ruby muncul di belakang pintu pagar. Di belakangnya ada Zahra yang mengikut.
Pintu pagar dibuka perlahan-lahan.
“Nak apa kamu ke
mari?” tegas suara Tan Sri Halim. Ada riak benci terlukis di wajahnya.
“Tan Sri, Puan
Sri saya tahu saya tak layak untuk jejakkan kaki ke sini lagi tapi saya mohon
secebis belas kasihan dan jasa baik Tan Sri dan Puan Sri untuk berjumpa dengan
mama saya,” sayu kedengaran suara Izzul namun langsung tidak menyejukkan hati
mereka. Puan Sri Ruby melemparkan pandangan penuh sinis.
“Buat apa? Supaya
kamu boleh menghina kami lagi? Mengatakan kami ni pembolot harta? Atau kamu nak
merancang sesuatu yang boleh merosakkan keluarga kami?” keras suara Puan Sri
Ruby kedengaran.
“Tak! Bukan itu
maksud saya. Mama…mama, dia dah kritikal. Dia nak jumpa Tan Sri sekeluarga
untuk pohon maaf. Juga mungkin untuk kali yang terakhir. Tolonglah Tan Sri,
Puan Sri,” rayu Izzul membuang rasa malunya. Semua demi insan yang bergelar
mama.
“Sudahlah.
Baliklah Izzul. Kami dah jelek dengan drama kamu,” Puan Sri Ruby menarik tangan
suami dan anaknya untuk berlalu meninggalkan Izzul. Izzul tergamam. Air matanya
menitis perlahan. Entah apa yang berada di mindanya saat ini, Izzul tak tahu.
Dia langsung berlutut di depan pintu pagar mewah itu. Terbeliak mata Zahra
memandangnya.
“Tan Sri, Puan
Sri tolonglah. Ini mungkin permintaan terakhir mama,” ucap Izzul dalam sendu.
Puan Sri Ruby tidak jadi melangkah. Dia tergamam dengan tindakan drastik
menantunya itu.
“Kenapa kau
sanggup buat macam ni? Kenapa kau sanggup jatuhkan maruah kau pada kami, orang
yang kau paling benci?” suara Zahra kedengaran. Dia sedaya upaya mengawal air
matanya dari jatuh. Sayu hatinya melihat lelaki berpangkat suami melutut di
hadapan orang tuanya.
“Sebab dia mama
saya. Dia yang lahirkan saya, dia yang jaga saya lepas daddy meninggal. Saya
sanggup buat apa saja untuk dia. Tolonglah Tan Sri, Puan Sri dan Zahra. Saya
tahu saya hina tapi tolonglah saya. Kalau nak saya rendahkan lagi diri saya,
saya rela,” serentak dengan itu, Tan Sri Halim menarik menantunya bangun ke
posisi asalnya. Sedih hati melihat perilaku menantunya yang jelas menunjukkan
betapa dia menyayangi insan bergelar mama. Tapi hati Tan Sri Halim masih keras
untuk memaafkan keluarga Izzul.
“Kamu tak perlu
sampai macam tu sekali. Kamu baliklah, Izzul. Kami minta maaf. Kami masih tak
mampu nak jumpa mama kamu. Kamu baliklah,” serentak keluarga itu berlalu
meninggalkan Izzul yang masih lagi terkaku. Ya ALLAH, kesiannya mama. Sayu
hatinya mengingati mamanya. Maafkan Izz, mama. Izz dah cuba.
IZZUL melangkah masuk ke dalam vila. Terkejut dia melihat doktor
keluarganya baru keluar dari bilik Datin Raznah.
“Bik, kenapa
dengan mama?” tanya Izzul cemas.
“Tadi Datin
pengsan. Terus, saya mahu hubungi encik tapi Encik Khalif bilang enggak perlu.
Cuma hubungi doktor aja,” jawab bibik dalam loghat Indonesianya. Izzul
mengangguk. Khalif ada rupanya, tidaklah dia bimbang sangat. Izzul berjalan
menghampiri Doktor Adam yang berdiri di depan pintu bilik mamanya.
“Doktor,” tegur
Izzul. Dia menghulurkan tangan bersalaman dengan Doktor Adam. Doktor Adam
tersenyum.
“Keadaan Datin
agak kritikal. Saya bimbang kalau dia tidak dibawa ke hospital secepat mungkin,
keadaannya akan jadi lebih serius. Tekanan darah Datin makin tinggi dan
denyutan nadinya semakin menurun. Apa yang saya dapat konklusikan, Datin sangat
tertekan. Jadi, saya harap Encik Izzul dapat pujuk Datin untuk segera ke
hospital. Kalau tidak, saya tak boleh bantu,” perlahan suara Doktor Adam. Izzul
mengangguk beberapa kali. Seketika kemudian, Doktor Adam meminta diri untuk
pulang. Khalif menghantar Doktor Adam ke muka pintu manakala Izzul pula
melangkah masuk ke bilik mamanya.
“Ma, kita ke
hospital ya ma?” pujuk Izzul. Tangan mamanya diusap lembut.
“Ma tak mahu. Ma
nak mati di rumah,” balas Datin Raznah sayup-sayup. Izzul hela nafas berat. Dia
memandang mamanya dengan pandangan penuh sayu.
“Mak Long, kenapa
cakap macam tu? Urusan hidup mati tu kan di tangan ALLAH. Kita ke hospitallah,
Mak Long. Rawatan lebih spesifik,” Khalif yang baru masuk pula cuba memujuk
Datin Raznah. Datin Raznah menggelengkan kepalanya beberapa kali.
“Mak Long tak
mahu. Mak Long nak jumpa Tan Sri Halim dan keluarganya,” lemah suara Datin
Raznah. Izzul tutup mata erat. Dia tahu permintaan itu takkan dapat ditunaikan.
Hati keluarga Tan Sri Halim sudah beku mahu menerima permohonan maaf dari
mereka. Izzul bertukar pandangan dengan Khalif yang berdiri di sisi satu lagi.
Lambat-lambat dia menggelengkan kepala. Khalif mengeluh.
“Mama nak minta
maaf dengan dia. Mama dah hancurkan keluarga dia. Mama bersalah, Izz,” tangis
Datin Raznah. Izzul mula menggelabah. Dia duduk di sisi katil Datin Raznah cuba
menenangkannya.
“Ma, jangan macam
ni. Ma jangan stress. Doktor tak bagi mama tertekan,” pujuk Izzul. Khalif yang
berdiam diri dari tadi mula bangun dan meminta diri untuk menyelesaikan satu
urusan. Izzul memandang sepupunya aneh dan Khalif hanya tersenyum penuh rahsia.
“Izz, mama nak
minta maaf. Mama berdosa pada Izz. Mama rosakkan kebahagiaan kesayangan mama
ni. Mama rasa berdosa sebab libatkan Izz dalam dendam mama yang tak
berpenghujung ni. Maafkan mama, sayang,” air mata Datin Raznah kembali
mengalir. Izzul menyeka linangan air mata di pipi mamanya. Dia turut sama
menitiskan air mata.
“Ma, ma tak salah
dengan Izz. Ma jangan cakap macam tu. Izz sayang mama. Mama rehat ya?” pujuk
Izzul lagi. Datin Raznah tersenyum sayu. Rambut anaknya diusap.
“Izz anak yang
baik. Izz tak ada dosa pun dengan mama. Izz selalu bahagiakan mama walaupun Izz
terluka. Maafkan ma kerana rosakkan rumah tangga Izz. Terima kasih Izz sebab
jaga mama hingga ke akhir hayat mama,” ucap Datin Raznah tulus. Izzul hanya
mampu mengangguk. Suaranya sudah tidak mampu untuk keluar lagi. Hatinya sayu
dengan kata-kata yang keluar dari mulut mamanya itu.
Izzul memaksa
mamanya berehat. Melihat ibunya mula melelapkan mata, Izzul bergerak ke sofa.
Pernafasan mamanya dipandang. Hati Izzul mula berdetik yang tidak-tidak. Ya
ALLAH, jangan kau ambil mama daripada aku saat ini ya ALLAH. Aku tak kuat!
LOCENG banglo dua tingkat itu ditekan Khalif. Dia menunggu
tanda-tanda orang keluar dari banglo mewah itu.
“Ya encik, cari
siapa ya?” tegur seorang wanita agak berusia. Pembantu rumah barangkali, detik
hati Khalif.
“Saya nak jumpa
Tan Sri, Puan Sri dan anaknya. Ada hal mustahak yang hendak dibincangkan. Saya
Khalif,” beritahu Khalif. Wanita lingkungan 50 tahun itu mengangguk sebelum
masuk ke dalam banglo itu. Beberapa minit kemudian, wanita itu muncul semula
menjemputnya masuk ke dalam rumah.
“Encik Khalif,
Tan Sri dan Puan Sri ada di ruang tamu,” pelawa wanita yang memperkenalkan diri
sebagai Mak Jah itu. Khalif tersenyum. Dia membontoti langkah Mak Jah ke ruang
tamu banglo mewah itu.
“Assalamualaikum,”
ucap Khalif dan dia menghulurkan tangan bersalaman dengan lelaki separuh abad
yang memandangnya dengan pandangan pelik. Di sebelah lelaki itu ada seorang
wanita bertudung yang juga sudah agak berusia. Seorang perempuan ayu bertudung
muncul beberapa minit kemudian. Khalif pandang sekilas. Mungkinkah Zahra?
“Apa tujuan kamu
ke sini?” tanya Tan Sri Halim. Dia tidak kenal lelaki yang duduk di depannya
itu tapi tiba-tiba lelaki itu ke mari dan mengatakan ada hal mustahak untuk
berbincang. Pelik juga dia jadinya.
“Begini Tan Sri.
Saya Khalif Asyfar sepupu kepada menantu Tan Sri dan Puan Sri, Izzul Farhan,”
mendengar nama Izzul, wajah Tan Sri Halim dan Puan Sri Ruby berubah riak. Zahra
perasan riak wajah mama dan papanya yang kelat selepas mendengar nama suaminya
pantas bersuara.
“Kalau soal
Izzul, kami tak mahu ikut campur. Encik Khalif boleh balik,” Khalif terkedu.
Amboi, baik punya bahasa, Puan Zahra? Macam manalah Izzul boleh jatuh hati
tahap petala dekat kau ni?
“Mahu atau tak
mahu, saya tetap akan bercakap,” tegas Khalif. Sengaja dia buat perangai
degilnya. Biar keluarga mertua Izzul melayan kerenahnya. Selalu dia hanya buat
perangai degil dengan Mak Long dan Izzul tapi hari ini dia menjumpai mangsa
baru.
Tan Sri Halim
menarik nafas panjang. “Apa yang hendak kamu bincangkan?” tanyanya garang. Tapi
langsung tidak menakutkan Khalif.
“Saya tahu Mak
Long dan Izzul dah buat kesalahan besar pada keluarga Tan Sri tapi hina
sangatkah mereka sampai tak mampu nak dapat kemaafan dari Tan Sri sekeluarga?”
tersentak Tan Sri Halim mendengarnya. Tidak dia menyangka menantunya punyai
sepupu yang bermulut leser seperti ini.
“Mulia sangat ke
kedudukan Tan Sri dan Puan Sri sehingga tidak boleh nak memaafkan orang lain?”
serentak dengan itu, Khalif merasakan pipi kanannya pijar. Dia memandang wanita
di hadapannya. Nampak je kecik, tapi tangan berbisa. Habislah sepupunya, Khalif
berfikir nakal.
“Jangan kurang
ajar. Awak tak tahu bagaimana pedihnya kami di sini,” kuat suara Zahra separa
menjerit. Khalif bangun dari duduknya. Dia tersenyum sinis.
“Pedih Tan Sri,
Puan Sri dan Puan Zahra saja ke yang perlu diambil berat? Macam mana dengan
pedih Mak Long dan Izzul? Macam mana dengan pedihnya seorang perempuan terpaksa
bekerja keras untuk menampung keluarga selepas kehilangan tempat bergantung
tanpa ada satu sen pun duit milik arwah suaminya diterima?” perlahan, tapi
penuh dengan sindiran yang mendalam.
“Oh, saya lupa.
Tan Sri hanya menjaga amanah bukan membolot! Betul. Betul, Tan Sri menjaga
amanah tapi salah ke kalau Tan Sri hulurkan sedikit duit ke dalam akaun Mak
Long? Salah ke kalau Tan Sri hulurkan sedikit bantuan supaya Mak Long tak
mengemis pada adik beradiknya sendiri? Salah ke kalau Tan Sri beri sedikit
simpati supaya Izzul tak bekerja di waktu umurnya masih 15 tahun? Salah ke Tan
Sri?” makin lantang Khalif bersuara. Di mindanya terlayar bagaimana susahnya
Mak Long tanpa kenderaan datang ke rumah keluarganya di Pulau Perhentian
meminta bantuan bila adik beradiknya memulaukannya. Mungkin malu dengan keadaan
Mak Long yang dirasakan sudah jatuh bankrup. Tan Sri Halim tersentak dengan
kenyataan yang baru diterimanya.
“Tan Sri pernah
terfikir macam mana Izzul membesar? Pernah Tan Sri tanya macam mana susahnya
hidup dia? Tan Sri tak pernah ambil tahu soal Izzul, tak pernah tanya tentang
kehidupan mereka. Tiba-tiba bila Izzul dah besar dan berjaya, Tan Sri panggil
dia ke Eagles Holdings. Cukup masanya Tan Sri kahwinkan dengan anak Tan Sri dan
sekarang Tan Sri kata Izzul permainkan anak Tan Sri? Siapa yang mempermainkan
siapa ni, Tan Sri?” sayu suara Khalif bila membayangkan kesusahan yang dihadapi
Izzul semasa membesar. Terpaksa bekerja semasa cuti pendeknya gara-gara mahu
membeli buku. Bukan bapanya tidak mahu membantu, tapi Izzul yang berkeras.
Selebihnya Izzul juga kasihan dengan Pak Ngahnya yang terpaksa menjaganya dan
Khalif yang sama-sama memerlukan duit yang banyak untuk persekolahan.
“Tan Sri nak
bercakap soal maruah? Tan Sri rasa Izzul pijak maruah Tan Sri tapi Tan Sri
sedar tak yang maruah Izzul dan mamanya dah lama kena injak? Tan Sri pernah
tahu macam mana Izzul dan mamanya dihina? Tak Sri tak tahu. Tan Sri tak pernah
tahu pun kesusahan yang dihadapi Izzul. Sekarang, Tan Sri dan Puan Sri hanya
buka mulut dan kata Izzul tak kenang budi? How funny it is!” herdik Khalif.
Puan Sri Ruby sudah menitiskan air mata. Khalif menggeleng perlahan.
“Cukuplah encik
Khalif. Tolonglah, jangan teruskan lagi,” Zahra merayu sedih. Tak mahu
mendengar sesuatu yang mampu buat hatinya lemah. Mendengar kata-kata berbisa
dari mulut Khalif sahaja sudah mampu buat dia membayangkan bagaimana seksanya
hidup Izzul selama hari ini. Dia tidak patut menyalahkan Izzul dengan dendam
yang memuncak dihati lelaki itu. Kalau dia di tempat Izzul pun, mungkin dia
akan melakukan hal yang sama. Khalif pandang Zahra sekilas.
“Ada Puan Zahra
cakap macam ni pada mama dan papa Puan Zahra sewaktu sepupu saya dihina? Tak
ada kan? Pertama kali Puan Zahra… pertama kali saya nampak Izzul betul-betul
cintakan seseorang. Mata dia bersinar bila sebut nama perempuan tu. Tapi
silapnya hanya sikit. Sebab dia dibutakan oleh dendam yang berlandaskan motif
yang tak pernah wujud, dia tipu diri dia sendiri. Dia seksa perasaan dia. Puan
Zahra fikir Puan Zahra je terseksa? Puan Zahra lupa yang sepupu saya juga punya
perasaan?” Khalif mengesat tubir matanya. Sayu mengenangkan Mak Long dan Izzul.
Zahra terkedu. Apa yang dikatakan Khalif langsung tidak pernah dia menyangka
akan dengar. Izzul cintakan dia? Izzul bukan menipu tentang hakikat itu? Tan
Sri Halim dan Puan Sri Ruby hanya membatu.
“Perjanjian
pemulangan saham, sehingga Izzul berkahwin dengan Zahra. Boleh Tan Sri
bayangkan, macam mana agaknya kalau Izzul tak berkahwin dengan Zahra? Macam
mana kalau Izzul ditakdirkan pergi dulu sebelum dia sempat kenal Zahra?
Selamanyakah harta itu akan Tan Sri pegang amanahnya? Tan Sri memang bijak tapi
Tan Sri terlupakah pada kuasa Yang Maha Mengatur?” Khalif masih belum puas
hati. Dia mahu mencuci minda si kaya di hadapannya.
“Cuba Tan Sri
bayangkan, kalau dari awal lagi Tan Sri hulurkan bantuan, jelaskan hal yang
sebenar, semua ni tak kan jadi Tan Sri. Ya, saya faham! Amanah arwah Pak Long.
Tapi itu tak bermakna yang Tan Sri kena ikut tanpa pertimbangkan baik atau
buruk yang berlaku! Saya yakin kalau Tan Sri ambil langkah awal, tiada dendam
dalam diri Mak Long dan Izzul malah saya yakin Tan Sri akan hidup bahagia.”
Khalif meraup muka dan rambutnya. Suaranya mula mengendur. Dia memandang Tan
Sri Halim yang masih mematungkan diri.
“Dengan hal yang
terjadi, layak ke Tan Sri nak letakkan kesalahan hanya di bahu Mak Long dan
Izzul? Jangan lupa Tan Sri, tindakan Tan Sri yang menghidupkan dendam di hati
mereka. Mak Long saya tak minta banyak pun Tan Sri, dia cuma nak jumpa keluarga
Tan Sri dan mohon maaf, itu pun tak boleh ke? Tolonglah Tan Sri bertolak
ansur,” Khalif diam. Dia merenung jam di tangannya. Hampir satu jam dia keluar.
Mesti Izzul sudah mulai risau dan membebel.
“Maafkan saya Tan
Sri andai kata-kata saya mengguris perasaan Tan Sri sekeluarga. Saya cuma ingin
amanat terakhir Mak Long saya kesampaian. Tak sampai hati saya tengok Izzul
termenung dan Mak Long merayu untuk bertemu Tan Sri. Saya harap Tan Sri dapat
maafkan Mak Long dan jumpa dengan dia mungkin untuk kali yang terakhir. Sekali
lagi saya mohon maaf atas keterlanjuran bicara saya Tan Sri, Puan Sri dan Puan
Zahra,” Khalif menghulurkan tangan untuk bersalam. Tan Sri Halim menyambut
lambat-lambat. Dia terkedu dengan setiap ayat pedas yang keluar dari mulut
Khalif. Dalam diam dia mengakui, apa yang dikatakan Khalif itu banyak benarnya.
Khalif keluar
dari banglo mewah itu. Belum sempat dia menyarung sport shoe di kaki, telefon
bimbitnya menjerit-jerit minta diangkat. Khalif kerut kening.
“Hello… Izz…
Izz…” panggil Khalif bila taliannya tak bersambut. Hatinya mula bimbang bila
bunyi esakan yang muncul dari talian sebelah. Dia sedar ada tiga pasang mata
memerhatikan dirinya.
“Carl, ma dah tak
ada,” ucap Izzul dalam sendu. Khalif tergamam. Semangatnya bagai hilang.
Terkejut mendengar berita tentang ibu saudara kesayangannya itu.
“Innalillah…”
hanya itu yang terbit dari mulut Khalif. Selebihnya hanya tangisan Izzul
kedengaran. Setelah mendapat kembali semangatnya, Khalif menyambung bicara.
“Kau sabar Izz,
aku balik sekarang,” tanpa memakai kasut, Khalif berlari menuju ke keretanya
yang terletak di luar pagar. Kasutnya hanya dijinjit di tangan. Dia tidak
peduli apa yang di minda keluarga Tan Sri Halim saat ini. Mahu memaafkan atau
tidak, terserahlah pada hati ego mereka. Yang dia risaukan sepupunya, Izzul.
Izzul lebih memerlukannya, pedulikan ego manusia yang setinggi langit itu. Dan
Mitsubishi Lancer itu menderum meninggalkan banglo mewah dua tingkat milik Tan
Sri Halim.
BERSAMBUNG LAGI~~~
p/s : Part 3 coming soon... Mungkinkah yg penghabisan??? *mata juling ke atas sambil angkat bahu*
No comments:
Post a Comment