IZZUL berdiri di satu sudut memerhatikan ahli perempuan kariah
masjid mengkafankan ibunya. Bukan dia tidak mahu menghampiri tapi dia bimbang
dia tidak kuat. Maafkan Izz, mama. Izz tak kuat menghadapi pemergian ma.
“Encik, ada tamu
mahu ketemu,” bibik memberitahu. Izzul pandang bibik dengan pandangan pelik.
Siapa pula yang mahu berjumpa dia saat ini. Wajah bibik yang sudah sembab
gara-gara menangis dipandang lama sebelum Izzul menganggukkan kepalanya. Dia
berlalu ke luar rumah. Di perkarangan rumah ramai saudara mara dan sahabat
mamanya menunggu. Izzul sekadar menjengukkan kepalanya.
“Siapa yang nak
jumpa, bik?” tanya Izzul dalam suara tertahan. Yalah, dalam ramai orang di
perkarangan rumah ini, macam mana Izzul nak kenal siapa yang nak jumpa dia.
“Tu, keluarga
mertua encik,” beritahu bibik. Bibik kemudian berlalu masuk ke dalam selepas
Mak Ngah Izzul mencarinya untuk meminta pertolongan dalam pengurusan jenazah
Datin Raznah.
Izzul melepaskan
nafas berat. Dia menggagahkan kakinya untuk melangkah ke arah keluarga
mertuanya yang berada tidak jauh dari Pak Ngahnya. Dia nampak Tan Sri Halim
berbual dengan beberapa orang rakan arwah mamanya. Melihat langkah Izzul
menghampiri, Tan Sri Halim pantas melangkah ke arah isteri dan anaknya.
“Assalamualaikum
Tan Sri, Puan Sri dan Zahra,” ucap Izzul dalam nada sayu. Matanya merah dan
sepet akibat terlalu banyak air mata yang keluar sepanjang minggu itu. Izzul
paksa diri untuk tersenyum. Dia nampak kesan air mata di pipi Puan Sri Ruby dan
Zahra. Tan Sri Halim mahu bersuara, tapi belum sempat dia membuka mulut Izzul
sudah memotong.
“Tan Sri, Puan
Sri dan Zahra, saya nak mohon maaf bagi pihak arwah mama. Saya tahu apa yang
saya buat amat tak patut dan Tan Sri membenci kami. Tapi, tolonglah Tan Sri
maafkan mama. Dia dah tak ada lagi, saya berharap dia tenang di alam sana. Moga
tiada sebarang kebencian dari sesiapa pun untuk dia. Dengan penuh rendah diri,
saya mohon Tan Sri dan keluarga untuk maafkan dia. Hukumlah saya, Tan Sri. Saya
tak kisah tapi maafkanlah mama,” Izzul menahan sebak. Air matanya bagai ingin
jatuh sekali lagi. Nilai air matanya amat murah pada saat-saat begini.
“Izzul, kami…”
belum sempat Tan Sri Halim bersuara, nama Izzul sudah dilaung dari dalam rumah.
“Izz, solat
jenazah dah nak dimulakan,” suara Khalif membuatkan Izzul tersentak. Dia
memandang tetamunya yang masih lagi kaku.
“Maafkan saya Tan
Sri, tapi saya nak laksanakan tugas-tugas terakhir seorang anak,” pinta Izzul.
Dia kemudian berlalu ke dalam rumah untuk bersama-sama dengan beberapa orang
yang lain melaksanakan solat jenazah untuk arwah mamanya. Izzul sebak. Ya
ALLAH, besarnya harga kemaafan yang perlu aku bayar.
“IZZ sudahlah tu. Redhalah dengan apa yang terjadi. ALLAH lebih
sayangkan ma,” Pak Ngah menepuk bahu Izzul lembut. Izzul mengangguk menahan
kesedihannya. Pak Ngah kemudian berlalu ke ruang depan untuk bersalaman dengan
tetamu yang hadir untuk malam ketiga kenduri tahlil mamanya.
“Izz…” tegur
Khalif memerhatikan sepupunya yang berada di dunia khayalannya.
“Carl, aku dah
tak ada siapa dah. Daddy dah pergi, mama pun dah tak ada. Aku dah tak ada
siapa, Carl,” suara Izzul sebak.
“Kau jangan cakap
macam ni. Kau ada aku, abah dan ibu. Kami tak pernah buang kau,” Khalif memeluk
bahu sepupunya cuba menenteramkan Izzul. Kasihan sungguh sepupunya. Sudahlah
menjadi yatim piatu, keluarga mertua pula seakan-akan berat hati mahu
memaafkannya. Ah, susah benar melayan ego orang berada ini.
“Carl, dari dulu
lagi aku ni selalu menyusahkan keluarga kau, kan? Pak Ngah, Mak Ngah terlalu
baik dengan aku. Tak ada apa yang boleh aku buat untuk balas jasa kau
sekeluarga,” Izzul tersedu. Tanpa Pak Ngah, Mak Ngah dan Khalif, entah apalah
yang jadi saat ini. Sudahlah dia hilang punca, mahu saja segala-galanya tidak
berjalan selancar ini. Khalif menepuk bahu sepupunya lembut.
Zahra tidak jadi
melangkah ke arah suaminya. Sayu hatinya mendengar luahan hati Izzul pada
Khalif. Dia hanya berani duduk di belakang dinding mendengar apa yang dibualkan
Izzul dan Khalif. Tadi Izzul ada menegurnya, tapi entah kenapa dia tidak
menjawab teguran suaminya. Menyesal dengan apa yang dia lakukan membuatkan
Zahra pergi ke belakang untuk melihat suaminya. Tapi mendengar luahan sayu
Izzul buatkan Zahra tergamam sendiri. Terasa berdosa. Menyedari ada usapan
lembut di bahunya, Zahra menoleh.
“Zahra baliklah
dulu, ya? Nanti Mak Ngah pujuk Izzul,” Mak Ngah memujuk Zahra. Zahra mengangguk
lemah. Langkah kakinya berat mahu meninggalkan villa mewah itu namun apakan
daya, dia tahu salahnya dalam hal ini.
###
“BILA kau berhentikan bibik?” tanya Khalif sewaktu duduk berdua
dengan Izzul di pondok rehat depan vila itu. Ibu dan abahnya sudah masuk tidur.
Maklum sahajalah jam sudah menginjak ke angka 2.
Izzul yang sedang
leka mengingati memori dengan mamanya di halaman rumah tersentak dengan
pertanyaan sepupunya itu. Dia memandang Khalif sebelum menjawab soalan
sepupunya itu
“Semalam. Bibik
kata dia tak selesa nak kerja kat sini bila mama dah tak ada. So, dia minta
kebenaran untuk berhenti. Aku pun kata okay je la,” beritahu Izzul. Dia sudah
semakin tenang kini. Mujur juga ada Khalif dan keluarganya. Kalau tidak mungkin
dia sudah separa gila saat ini.
“Kau macam mana
lepas ni? Nak duduk sini lagi ke? Atau kau nak balik rumah mertua kau?” soalan
Khalif membuatkan Izzul melepaskan keluhan berat. Dia memandang villa yang
tersergam indah itu.
“Entahlah Carl.
Aku tak terfikir lagi. Nak tinggal dekat sini, aku bimbang aku tak kuat. Nak
balik rumah mertua aku, aku tak pasti sama ada mereka dah maafkan aku ke belum.
Tengoklah Carl ke mana langkah aku lepas ni,” Izzul merenung pekat malam. Tiada
bintang dan bulan pun malam ini. Malam yang sungguh sunyi. Sama seperti
perasaannya saat ini.
“Sebenarnya aku
ada terfikir satu benda. Tapi aku tak tahulah kau setuju atau tak,” Khalif
bersuara menarik minat sepupunya. Izzul memandang Khalif dengan penuh tanda
tanya.
“Aku rasa kau
perlu release tension. Sebab tu aku fikir macam tu,” beritahu Khalif sebaik
sahaja dia selesai memberitahu Izzul tentang perancangan yang dirancang untuk
lelaki itu.
“Aku rasa idea
kau baik juga,” ucap Izzul sambil tersenyum. Dia kemudian menepuk bahu Khalif
sebelum berlalu masuk.
“Oh ya, sebelum
aku lupa. Esok kau tolong temankan peguam untuk uruskan semua yang aku dah
beritahu kau tu. Aku nak packing barang jap. Terima kasih,” dan Izzul
menghilang ke dalam rumah meninggal Khalif yang terdiam sendiri.
“Aku bagi kau
idea, kau suruh aku buat benda lain pula? Baik punya sepupu,” marah Khalif. Dia
kemudian menggelengkan kepalanya. Sabar sungguh dengan sepupu macam ni. Bunyi
burung hantu yang tiba-tiba kedengaran membuatkan Khalif tersentak. Laju, dia
melangkah masuk ke dalam vila mewah itu.
KHALIF menggelengkan kepalanya perlahan. Kalau bukan sebab
sepupunya tidak mungkin dia mahu menjejakkan kaki lagi di banglo mewah ini.
Izzul sudah selamat menjayakan misi M.I.A yang dicadangkannya semalam. Dan
sebagai balasannya, Khalif terpaksa menggantikan tugas Izzul di Syarikat milik
arwah Mak Longnya. Mengingatkan yang itu, Khalif mengeluh lagi. Melepaskan
Izzul, dia yang terjerat!
“Maaf. Lama ke
tunggu?” tanya Tan Sri Halim yang baru muncul bersama Puan Sri Ruby dan Zahra.
“Baru je Tan Sri.
Air pun tak terusik lagi,” ucap Khalif perlahan. Dia kemudian memandang ke arah
peguam keluarga Izzul sebelum mengangguk perlahan memberikan kebenaran untuk
memulakan perbincangan.
“Saya Yazid,
peguam keluarga arwah Dato’ Firdaus. Sekarang ni saya berkhidmat untuk Encik
Izzul. Secara ringkasnya hari ini saya datang mewakili Encik Izzul,” peguam
muda yang duduk di sebelah Khalif memperkenalkan dirinya. Tan Sri Halim
terkejut. Dia memandang isteri dan anaknya silih berganti, Peguam? Tapi untuk
apa?
“Encik Izzul
memaklumkan kepada saya untuk menyerahkan kesemua saham yang dipegangnya di
Eagles Holding,” Encik Yazid bagaikan faham apa yang berada di minda Tan Sri
Halim saat ini. Semua yang berada di ruang tamu itu terkejut kecuali Khalif
yang sememangnya sudah tahu dari awal mengenai perancangan itu.
“30% daripada
saham itu diserahkan kepada Puan Fatima Zahra Tan Sri Halim dan lebihan 20%
lagi diserahkan kepada Tan Sri Halim Mokhtar sekali gus menjadikan 0% saham
yang dipegang oleh Encik Izzul di Eagles Holding,” suasana ruang tamu banglo
mewah itu sunyi sepi. Tiada siapa berani bersuara. Masing-masing terkejut
dengan apa yang didengarinya.
“Itu sahaja
tujuan kami ke sini. Kalau tiada apa masalah, kami minta diri dulu,” Khalif
mematikan lamunan dan suasana sepi itu. Tan Sri Halim memandang sepupu
menantunya itu.
“Nanti! Kenapa
Izzul buat macam ni?” tanya Puan Sri Ruby menghalang Khalif dari pulang. Kenapa
Izzul buat begitu? Bukankah kemunculannya dalam keluarga ini untuk mengambil
haknya? Kini, haknya telah dikembalikan, kenapa diserahkan kepada mereka pula?
“Saya minta maaf
Tan Sri, Puan Sri. Saya hanya menjalankan tanggung jawab saya. Hal-hal lain
saya tak masuk campur,” beritahu Encik Yazid. Pandangan mata Zahra mencerlung
ke arah Khalif yang sudah mula tak senang duduk. Khalif mengeluh lagi. Bagus
sepupu! Kau senang lenang, aku yang hilang idea nak menjawab! Getus Khalif
geram.
“Tan Sri, Puan
Sri dan Puan Zahra kena tanya Izzul sendirilah kenapa dia buat macam ni. Saya
tak ada hak untuk memberitahu,” ucap Khalif bersama senyuman manisnya.
“Jap, you jangan
nak mengelak Khalif. You know everything about him. Just tell us, why he did
this?” desak Zahra. Khalif mengeluh berat. Dia memandang kosong ke arah tangga
banglo mewah itu. Khalif diam sebentar.
“Memang pada
mulanya, Izz masuk dalam keluarga Tan Sri untuk mengambil semula harta arwah
daddy. Tapi selepas apa yang berlaku, dia tak rasa dia mahukan harta tu. Jadi
dia serahkan kepada Puan Zahra sebagai tanda cinta dia dan kepada Tan Sri dan
Puan Sri atas tanda terima kasih kerana menjaga amanah arwah daddy. Itu je yang
boleh saya beritahu,” Khalif bersuara selepas beberapa minit dia diam membisu.
Zahra terdiam. Ini bukan apa yang dia mahukan. Dia mahukan suaminya, bukan
hartanya.
“Mana Izzul?”
tanya Zahra tidak sabar. Encik Yazid dan Khalif sudah bertukar pandang. Mereka
mendiamkan diri. Tak mahu menjawab pertanyaan itu.
“Khalif, mana
Izzul? Where’s my husband?” Zahra mendesak lagi bila tiada jawapan yang
didengarinya. Khalif memandang peguam muda itu. Dia mengangguk lagi.
“Puan Zahra
jangan bimbang. Encik Izzul ada di satu tempat yang selamat sekarang ni. Ada
orang jaga dia dan dia sedang menenangkan diri. Sampai masanya, dia akan
pulang. Itu pun kalau keluarga Puan Zahra sudi terima dia lagi sebagai menantu
dalam rumah ni,” sinis suara peguam muda itu. Khalif lorek senyum. Tempat
rahsia Izzul tidak boleh didedahkan. Habis dia dengan Yazid nanti dibelasah
Izzul.
“Macam mana saya
tak risau, dia suami saya,” Zahra bersuara perlahan.
“Sebab dia suami
Puan Zahra lah, Puan Zahra kena belajar untuk percaya pada dia. Dia selamat.
Itu je yang mampu saya beritahu. Saya tak boleh nak bagi tahu details lagi,”
mendengar kata-kata Encik Yazid, Zahra meraup muka dengan tangannya. Abang
dekat mana? Baliklah… pinta hatinya sayu.
Khalif dan Yazid
berpandangan sesama sendiri. Elok saja mereka bertemu Izzul nanti, mereka
mahukan komisyen yang lumayan. Setiap jawapan yang diberikan kepada keluarga
ini dia ingin minta bayaran. Geram dengan Izzul yang bersenang lenang
merehatkan diri, sedangkan mereka bertungkus-lumus mencari jawapan memuaskan
hati keluarga mertuanya.
“Oh ya, Puan Sri.
Izzul minta saya beritahu. Villa Idaman telah dijual. Dan dia ingin
menghadiahkan hasil jualan vila itu kepada rumah anak yatim naungan Puan Sri,”
ucap Khalif sewaktu mereka ingin melangkah pulang dari banglo mewah itu.
Kata-kata yang keluar dari mulut Khalif menyentakkan mereka bertiga. Dan
secepat kilat, Khalif dan Yazid meminta diri untuk pulang. Tidak mahu terus
bersoal jawab dengan keluarga itu. Kering idea mahu memuaskan hati keluarga itu
dengan jawapan yang diinginkan.
TO BE CONTINUE~~~
p/s : Part 4 adalah yg penghabisan. Kali ni betul2 penghabisan.. ^-^
No comments:
Post a Comment